SUDAH dua minggu berlalu sejak kejadian
aku perang dingin dengan Abang Qiemee. Sejak itu aku sering kali mengelakkan
diri darinya. Aku juga sering pulang lewat supaya tidak berjumpa dengannya. Ada
sahaja alasan yang aku berikan setiap kali dia hubungi. Banyak kerja, tempahan
terlalu banyak, sibuk dengan perniagaan online, kena kerja keras untuk kumpul modal.
Hari cuti pun aku sibukkan diri. Sengaja aku bawa Shaheem
bersama ke butik supaya tidak bertembung dengannya di luar rumah.
Semenjak aku bekerja semula, Shaheem kuhantar ke rumah
pengasuh. Kadang-kala Shaheem kubawa ke butik apabila pengasuhnya bercuti. Kak
Tini juga tidak kisah aku membawa Shaheem asalkan kerja siap.
“Hari ni Mama Maira bawa baby Shaheem lah…” tegur Kak
Tini.
“Pengasuh dia cutilah kak.”
“Tak apa, Shaheem ni budak baik, tak banyak ragam. Untung
Maira dapat anak yang tak banyak ragam.”
“Alhamdulillah.” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan dengan
kebesaran Allah yang mengurniakan aku anak seperti Shaheem.
Shaheem seperti memahami mamanya perlu berkerja keras
untuk menyara kehidupan. Dia menangis
bila lapar atau lampin basah. Selebihnya dia tidur atau bermain sendiri. Kadang-kala
pekerja yang lain turut sama melayan Shaheem yang sudah pandai ketawa apabila
diagah.
Semoga dengan kesibukan aku ini Abang Qiemee akan bosan
denganku dan kembali pada Linda atau mencari cintanya. Aku tidak sanggup
dihukum sebagai perampas kebahagiaan orang lain. Cukup dua kali aku gagal dalam
cinta, tidak sanggup aku melihat orang lain juga gagal sepertiku dan lebih
teruk gagal kerana aku.
“Maira, akak betul-betul nak jual butik ni. Suami akak dah
bising suruh jual. Semua urusan kat sana dah selesai. Dia tunggu akak nak ke
sana aja. Paling lambat bulan depan. Maira nak tak butik akak ni? Kalau tak, terpaksalah
akak jual pada orang lain. Akak nak jual kat Maira sebab akak percaya Maira
mesti boleh majukan butik ni. Lagipun kita dah ada pelanggan tetap. Sayang pula
nak jual pada orang lain,” Kak Tini menyuarakan hasrat hatinya.
“Nak tu memang nak kak. Tapi Maira tak cukup modal lagi.”
“Okey akak kurangkan dari 20k ke 15k untuk cover modal
aja.”
“Memang tak cukup kak. Nampaknya tak ada rezekilah Maira
nak jadi taukeh butik ni. Tapi kalau Maira bayar pendahuluan dekat akak
selebihnya Maira buat ansuran, akak boleh terima tak?” Aku buat muka sedih
meminta supaya cadanganku diterima.
“Kita tengok minggu depan. Nanti akak bincang dengan
husband akak dulu.” Keruh air muka Kak Tini.
Kak Tini memang sayangkan butik ini setelah diusahakan
sejak sekian lama. Tapi dia lebih sayangkan suaminya. Memandangkan aku adalah
orang kepercayaannya sebab itulah Kak Tini yakin hanya aku yang mampu mengusahakan
butik ini.
Tapi bagaimana untuk mendapatkan modal? Tak sanggup
rasanya menebalkan muka meminta pada ibu dan ayah. Cukup-cukuplah aku
menyusahkan mereka selama ini.
Untuk terima pelawaan Abang Qiemee juga aku enggan. Dah
terlalu banyak budi yang ditabur. Cukuplah setakat itu. Lainlah jika Kak Tini
bersetuju dengan cadangan aku sebentar tadi. Tak perlu aku meminta pertolongan
dari sesiapa.
“Tadi ada orang cari Maira.”
Aku selak lengan baju untuk melihat jam tangan. Baru pukul
11 pagi dah ada yang cari? Tapi siapa?
“Dia cakap nama dia Qiemee. Dia tanya Shaheem ada sekali
dengan Maira ke? Akak jawab Maira tak sampai lagi. Siapa Qiemee tu? Suami Maira
ke?”
“Ta… Tak…” jawabku teragak-agak.
“Abang Maira. Maira lupa charge handpone semalam. Mungkin
dia tak dapat hubungi Maira agaknya.”
Abang Qiemee ni, sampai ke butik dia cari aku. Entah
apalah yang dia nak.
“Terima kasih kak. Nanti Maira call dia balik.”
Kak Tini anggukkan kepala dan mengambil Shaheem masuk ke
bilik pejabatnya.
SESAMPAINYA di luar rumah, Abang Qiemee sudah
menunggu di luar pagar dengan memerhatikan aku diiringi jelingan tajam. Aku
tidak mengendahkan jelingannya itu. Pantas Shaheem kukendong untuk masuk ke
dalam rumah.
“Maira, berapa kali abang pesan jangan bawa Shaheem pergi
butik. Bahaya, banyak habuk. Nanti Shaheem sakit,” dia menyapaku apabila aku
langsung tidak mengendahkannya. Aku yang ingin membuka pagar dihalangnya.
“Shaheem anak Maira, tahulah Maira jaga. Lagipun Maira
terpaksa bawa dia sebab pengasuh tak ada hari ni,” aku memberi alasan.
“Kenapa tak bagi pada abang untuk jaga? Selama ni Maira
tahu abang cuti weekend kan? Tengok
ni Shaheem dah selsema.” Abang Qiemee merampas Shaheem dari dalam pelukkanku.
Hingus Shaheem yang meleleh dikesat dengan jarinya.
“Bagi beg Shaheem pada abang. Abang nak bawa dia pergi klinik,”
kata Abang Qiemee dalam nada yang geram.
“Tak payah, dah malam ni. Biar Maira aja yang bawa Shaheem
pergi klinik esok. Lagipun ni anak Maira, tanggungjawab Maira!” Aku mula
berkeras.
“Ni anak abang juga!! Ikut abang pergi klinik. Jangan
banyak cakap!! Masuk kereta sekarang!!” tengkingnya.
Ini kali pertama aku dilayan begitu oleh Abang Qiemee.
Sebelum ini dia tidak pernah meninggikan suara padaku. Mungkin ini sisi
sebenarnya. Aku yang terkejut dengan arahannya akur masuk ke dalam kereta
dengan pelbagai rasa.
Setelah kereta dipakir di luar klinik, Abang Qiemee terus
merampas Shaheem dariku. Aku ditinggalkan di dalam kereta tanpa dia menunggu
aku untuk keluar. Mungkin terlalu risau dengan kesihatan Shaheem. Aku keluar
dari kereta dan terkejar-kejar mengikut langkah Abang Qiemee.
Setelah pemeriksaan doktor, Shaheem hanya selsema biasa. Tidak
ada apa yang perlu dirisaukan. Doktor juga tidak memberi ubat kerana bayi di
bawah umur 6 bulan tidak seharusnya diberi makanan lain selain susu ibu.
Penawar yang paling mujarab adalah kerap memberikan susu ibu padanya untuk
membentuk antibodi. Aku nampak wajah kelagaan Abang Qiemee dengan penerangan
dari doktor.
“Abang terlalu melebih-lebih. Terlalu risaukan Shaheem,”
rungutku di dalam kereta.
“Maira minum ais ke? Maira tak jaga makan kan sampai
Shaheem sakit?”
“Mana ada. Ais tak elok untuk ibu yang menyusukan anak.
Maira sentiasa ambil makanan yang bekhasiat. Maira tak mahu sakit. Siapa yang
nak jaga Shaheem kalau Maira sakit?”
“Kalau macam tu mesti sebab habuk kat butik. Sebab tu
abang tak kasi Maira bawa Shaheem ke butik. Maira tak kesian pada dia? Umur
macam ni terpaksa tanggung siksa untuk bernafas. Kita yang besar ni pun tak
selesa bila selsema, inikan pula Shaheem.”
“Maira terpaksa. Maira tak mahu susahkan abang.”
“Abang tak pernah rasa susah untuk jaga Shaheem malah
abang suka kalau dia ada di depan mata. Maira tahu kan hidup abang hanya ada
Maira dan Shaheem di sini. Kenapa Maira siksa abang? Kenapa elakkan diri dari
abang? Dah dua minggu tak jumpa Shaheem. Rasa macam nak gila.”
“Maira minta maaf. Tapi Maira rasa bersalah setiap kali
bersama dengan abang. Berdosa rasanya Maira keluar rumah tanpa izin suami.
Keluar dengan lelaki yang bukan mahram lagilah rasa berdosa. Setiap langkah
Maira penuh dengan dosa. Boleh mendatangkan fitnah. Dan Maira sendiri pernah
rasa macam mana sakitnya difitnah.” Aku benar-benar maksudkan apa yang aku
katakan.
“Jadi sebab tu Maira hindarkan diri dari abang?”
Aku angguk.
“Maira kena selesaikan masalah Maira dengan Zuhri segera
kalau tak mahu diselubungi rasa bersalah sepanjang masa. Dia terima atau tidak,
Maira tetap kena selesaikan. Tadi Maira kata setiap langkah Maira penuh dengan
dosa, jadi sampai bila Maira nak hidup macam ni? Sampai bila nak kumpul dosa?”
“Maira belum ada kekuatan.”
“Selagi masalah ni tak selesai selagi tu Maira nak juahkan
diri dari abang?”
“Nantilah Maira fikirkan. Maira nak tumpukan dulu pada
bisnes. Maira jadi ambil butik Kak Tini kalau Kak Tini setuju Maira bayar
ansuran pada dia,” aku mengalihkan topik perbualan kami. Kepalaku serabut
apabila memikirkan masalahku dan Zuhri yang tiada penyelesaian.
“Modal dah cukup?”
Aku geleng. “Tapi Maira bayar pendahuluan. Selebihnya
bayar ansuran.”
“Kenapa Maira tak nak terima pelawaan abang?”
“Pelawaan apa?”
“Abang tolong bayarkan baki modal kedai tu. Kalau Maira
nak bayar ansuran, bayar pada abang. Jangan menyusahkan Kak Tini. Dia mesti nak
guna duit tu.”
“Maira tak nak susahkan abang. Tolonglah abang, fikirkan
masa depan abang sendiri. Linda tu betul-betul sukakan abang.”
“Linda Linda Linda.... Kenapa Maira asyik sebut nama dia?”
“Tak kisahlah siapa pun. Tapi abang jangan bersusah kerana
Maira.”
“Selagi Maira ada depan mata abang, selagi tu abang akan
bersusah untuk Maira. Tak ada sesiapa yang akan halang abang.”
“Jadi abang nak Maira hilang dalam hidup abang?”
“No!! Of course no! Maira jangan lari dari abang. Boleh
tak Maira anggap abang ni macam abang Maira sendiri? Pelindung Maira dan
Shaheem.”
“Apa pun tetap berdosa. Dah malam ni, Maira masuk dulu.
Terima kasih sebab bawa kami pergi klinik,” kataku apabila kereta sudah siap
dipakir di depan rumahnya.
BERSAMBUNG
Bestt sangat (Y) suka baca ^_^
BalasPadamTq tq sis... 😘😘😘
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadamNice
BalasPadam