Isnin, 10 Oktober 2016

RULE UNTUK CALON ISTERI BAB 10

SALAM diberi dari luar rumah. Aku yang kebetulan masih belum ke butik cepat-cepat menyambut salam itu serta meninjau suara siapakah itu. Belum pernah lagi aku menerima kunjungan dari sesiapa sepanjang tinggal di Terengganu. Apabila pintu dibuka, terasa kaku seluruh badan. Benarkah ini?

“Ya Allah, betul ke ni? Saya tak mimpi ke?”

Lelaki di hadapanku memandang aku dengan segaris senyuman. Aku menerpa ke arahnya yang masih berdiri memerhatikan langkahku. Kukucup tangan lelaki itu kemudian aku berpaut pada lehernya.

Serentak itu air mata merembes keluar dan enggan berhenti, laju ia terjun membasahi pipiku. Kubiarkan keadaan itu beberapa ketika. Melepaskan rindu sejak sekian lama. Kesilapannya terhadap diri ini seolah-olah terus hilang dari ingatan. Setelah esakan beransur hilang, rangkulanku dileraikan olehnya.

“Maira, I minta maaf,” lelaki di hadapanku seakan-akan kehilangan kata-kata. Dia diam. Lama. Aku menanti bicara seterusnya dari dia. Adakah ini petanda yang kami akan bersama semula? Berputik sedikit harapan di dalam hati ini.

“Sampai hari ni I masih tak ingat apa-apa tentang kita. Mungkin apa yang berlaku di antara kita adalah suatu kesilapan. I betul-betul menyesal atas apa yang terjadi pada malam tu. I tak sepatutnya sentuh you dalam keadaan marah. I tak patut dera you. I tak patut sakiti you.”

Aku undurkan beberapa langkah ke belakang. Tidak mahu terlalu rapat dengannya setelah mendengar apa yang diluahkan.

“Sepatutnya I lepaskan you pergi. I patut pulangkan you pada keluarga you dengan cara yang baik. Tapi mungkin keegoan I sebagai seorang suami buatkan you merana. I rasa cukuplah sampai di sini hubungan kita. I dah tak mahu jadi suami yang dayus. Menggantung ikatan kita sejak lima tahun lepas tanpa memberi nafkah pada you. Tak ambil berat tentang you. Cukuplah dosa I pada you selama ni. I tak pegang pada janji. Sepatutnya I lepaskan you selapas setahun kita nikah. Tapi I tak ada kekuatan untuk cari you. I malu dengan diri sendiri.”

“Berterus terang saja apa yang awak nak cakap Zuhri.” Tak sanggup lagi aku mendengar apa yang bakal keluar dari mulutnya.

Setiap apa yang keluar pasti akan menghiris-hiris hati ini. Dan aku seperti tahu apa yang akan diluahkannya. Harapan yang tadinya baru berputik kini terus mati.

“You tetapkan masa untuk kita pergi pejabat agama. I akan lepaskan you dengan cara yang betul di hadapan keluarga kita. Sama seperti ketika I ambil you sebagai isteri. I akan pulangkan you pada mereka dengan cara yang terhormat. Kita berhak jalani hidup yang bahagia dengan orang yang kita cintai. I minta maaf sebab tak dapat mencintai you. Rasa tu tak ada walaupun I...” kata-katanya terhenti. Aku masih menanti tetapi dia seolah-olah tidak mahu menyambung patah perkataan yang seterusnya.

“Walaupun apa?”

“Walaupun I… Ermmm... Walaupun I dah cuba.”

Aku menyeka sisa air mata yang tertumpah di pipi. Fahamlah aku kini bahawa Zuhri masih belum pulih dan mungkin tiada harapan untuk pulih lagi. Aku reda dengan keputusan yang akan dilakukan oleh Zuhri. Aku akan terima nasib diri ini dan aku sudah pasti apakah takdir itu.

“Baiklah. Nampaknya penantian saya selama ini sia-sia belaka. Saya serahkan segala-gala keputusan pada awak,” kataku lemah.

“I minta maaf Maira. I tak berniat untuk menyakiti hati you. I cuba timbulkan rasa cinta tu, tapi tak boleh. I tak jumpa. I rasa ada orang lain yang lebih layak untuk orang sebaik you. Maafkan I Maira. Maafkan I atas apa yang berlaku di antara kita. Maafkan I yang pernah menyakiti hati dan perasaan you dan juga tubuh badan you. I menyesal dengan apa yang terjadi.”

Benda dah terjadi, apa yang nak dikesali? Mata ini tidak kuat untuk melawan pandangan mata darinya. Aku tahu yang ada hanyalah pandangan simpati. Apakah aku hanya berhak hidup di dunia ini dengan rasa simpati dari dari orang sekeliling? Aku takkan biarlan itu berlaku.

“Saya faham.” Itu sahaja yang mampu untuk aku suarakan.

“I balik dulu. Anything just call me.”

Aku berdiri di depan pintu sambil mengira setiap langkah yang ditinggalkan oleh Zuhri. Terasa tiap langkah itu akan meninggalkan aku jauh. Jauh dari hatinya dan dia tidak akan kembali lagi padaku. Aku akan kehilangannya untuk selama-lamanya. Dia sudah melupakan aku yang pernah wujud dalam hatinya dulu. Kehilangan yang amat memedihkan.

“Maira siapa tu?” Abang Qiemee yang baru memakirkan kereta di dalam laman rumahnya bergegas mendapatkanku.

“Zuhri,” jawabku perlahan.

“Maira okey ke ni?” Cemas riak wajahnya.

“Dia nak lepaskan Maira.” Serentak itu aku rebah di pangkuan Abang Qiemee.



SERASA basah seluruh mukaku direnjis. Kubuka mata perlahan-lahan. Terlihat Abang Qiemee masih di sisi. Aku duduk dari pembaringan dengan dibantu oleh Abang Qiemee.

“Maira okey tak ni? Jom pergi klinik,” ajak Abang Qiemee.

“Maira okey. Tak payah pergi klinik. Abang kata pergi KL dua minggu. Ni baru seminggu abang dah balik,” aku menukar topik.

“Meeting selesai awal. Abang memang rasa tak sedap hati. Hati asyik teringat kat Terengganu aja. Apa yang abang buat semua tak kena. Semuanya tak masuk dalam kepala. Lepas abang habis meeting, terus abang balik. Tak sangka jadi macam ni. Maira tak okey ni. Muka pun pucat. Abang tak boleh jaga Maira sepanjang masa. Ikutkan kalau sekarang ni ada orang dari Jabatan Agama datang, habis kita kena cekup. Kalau Maira bukan isteri orang abang tak kisah.”

Apa yang tak kisahnya? Tak kisah kena tangkap khalwat? Abang Qiemee ni mesti terlalu penat sampai bercakap tak gunakan otak.

“Kalau Maira pengsan lagi macam mana? Kita pergi klinik ya. Bibik ni pergi mana tak balik-balik lagi?” keluh Abang Qiemee selepas itu apabila melihatkan aku masih berdiam.

“Abang jangan risau. Maira okey. Kalau apa-apa jadi, Maira minta Shaheem tolong panggil abang.”

Abang Qiemee menghulurkan air kosong kepadaku. Terasa pahit ketika air itu melalui kerongkong. Ahhh Zuhri… Mata kupejam rapat-rapat mengingatkan apa yang berlaku sebentar tadi.

“Hmmm... Maira… Maira... Kenapa degil sangat? Kita tak ada keluarga dekat sini. Abang ada Maira dan Shaheem aja. Maira tolonglah jaga diri. Mungkin Maira terkejut dengan apa yang terjadi tadi. Tapi Maira kena pandai jaga diri. Dah lima tahun Maira hidup tanpa dia. Tak pernah ada masalahkan? Malah Maira jadi lebih kuat. Tapi bila dia muncul depan mata, tiba-tiba Maira jadi lemah macam ni. Nasib baik abang balik cepat. Kalau tak, tak dapat abang bayangkan apa yang akan terjadi. Tapi macam mana dia boleh cari Maira dekat sini? Dia pernah call Maira?” Wajah Abang Qiemee penuh curiga.

Aku menggeleng serentak itu telefon bimbitku berbunyi. Dahiku berkerut. Butik?

“Puan, tadi ada sorang lelaki cari puan. Dia kata dia sedara puan. Dia minta alamat rumah sebab ada hal penting,” pekerja dari butik memaklumkan.

“Okey Ayu. Orang tu dah datang. Lain kali minta kebenaran pada saya dulu ya kalau nak bagi alamat rumah. Mana tahu ada pencuri ke pembunuh ke penculik ke menyamar jadi saudara saya macam mana?” tanyaku tenang.

“Maaf puan, saya kesian kat dia sebab dia kata dia datang dari jauh. Lain kali saya tak buat dah,” Ayu yang mungkin rasa bersalah berkali-kali meminta maaf dariku sebelum mematikan talian.

Aku cuba berfikir sejenak bagaimana pula Zuhri tahu tentang butik yang kuusahakan? Beberapa detik akalku berfikir baru aku teringat tentang wajahku yang terpampang di sebuah majalah. Alamat butik dan namaku juga ada disiarkan di situ.

“Abang ingat tak tentang story Maira yang pernah keluar dekat majalah? Mungkin dari situ Zuhri dapat alamat butik,” aku berkata setelah lama kami berdiam diri.

“Dia tahu Shaheem anak dia?”

“Maira rasa tak sebab dia tak cakap apa-apa pun tentang Shaheem tadi. Shaheem pun tengah main dalam bilik masa dia datang. Jadi dia tak tahu langsung tentang kewujudan Shaheem. Maira nak rahsiakan dari pengetahuan dia. Maira tak nak kalau kami berpisah nanti, dia ambil Shaheem dari Maira. Abang pun tahukan selama ni Shaheem yang menjadi kekuatan untuk Maira teruskan hidup selain abang?”

Tiba-tiba wajah Abang Qiemee berubah. Cepat-cepat dia meraup wajahnya. Aku salah cakap ke? Tapi aku pernah melihat riak wajah yang pelik tu dulu. Tapi bila?

“Sampai bila Maira? Dia ayah Shaheem.”

“Mungkin sampai bila-bila.” Aku dah mula panas.

“Tak adil pada Shaheem. Maira tak kesian pada Shaheem ke? Dia tak tahu siapa bapa kandung dia.”

“Tak penting pun. Cukup yang dia tahu abang adalah papa dia.”

Sekali lagi wajah Abang Qiemee berubah.


“Tak apalah, sekarang ni Maira rehat dan tenangkan fikiran. Hari ni tak payah ke butik. Bila Maira dah ada kekuatan untuk selesaikan masalah Maira dan Zuhri, bagi tahu abang. Abang selalu ada di sisi Maira. Abang balik dulu.” Abang Qiemee meninggalkan aku. Mungkin tidak betah berlama-lama di rumah ini kerana fitnah boleh berlaku bila-bila masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan