Rabu, 12 Oktober 2016

RULE UNTUK CALON ISTERI BAB 11

DUA keluarga yang pernah bersatu kini berpisah. Di luar perkarangan Mahkamah Syariah ini kedua dua keluarga mengerumuni aku dan Zuhri dengan esak tangis.

“Ayah, ibu saya pulangkan Maira semula pada ayah dan ibu. Maafkan segala apa yang terjadi antara kami,” kata Zuhri kepada ayah setelah kami sah bercerai talak satu. Itupun setelah beberapa kali kami turun naik mahkamah tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

Mungkin ini jalan yang terbaik untuk kami setelah sekian lama tidak tinggal sebumbung dan tiada lagi rasa cinta di hati Zuhri untukku. Biarlah kami membawa haluan masing-masing dari terus mengusung dosa.

“Mommy, daddy Maira minta maaf. Maira bukan isteri yang baik untuk Zuhri,” luahku sambil memeluk ibu mentuaku.

“Tak apalah Maira, mungkin jodoh Maira dan Zuhri sampai sini je. Mommy dan daddy minta maaf sebab paksa Zuhri kahwin dengan Maira walaupun kami tahu keadaan dia. Kami ingatkan ingatannya akan pulih beransur-ansur lepas kahwin. Nampaknya sangkaan kami meleset. Tak sangka pulak dia buat perangai masa kami tak ada. Kami rasa bersalah sangat dengan apa yang Maira tanggung selama ni. Maafkan mommy ye,” mommy meluahkan kekesalannya.

“Tak apa mommy, semuanya sudah tertulis. Maira reda.” Aku menyorokkan kesedihanku di balik cermin mata hitam yang kusarung.

“Maira pergi mana sebenarnya? Mommy dan daddy cari Maira tapi tak jumpa. Malu mommy nak terangkan apa yang berlaku pada parents Maira. Lepas balik dari London ingatkan ada berita gembia tapi Maira terus hilang macam tu aja. Bila mommy tanya pada Zuhri, dia hanya geleng kepala dan tak mahu jawab apa-apa. Nasib baiklah ibu Maira kata Maira ada hubungi dia.”

“Semuanya dah lepas mommy. Maira cuma cari ketenangan. Maafkan Maira sebab susahkan hati mommy dan daddy.”

“Ibu, ayah, Miara minta maaf sebab tak pernah balik rumah sejak lepas kahwin.” Aku tunduk. Tidak sanggup melihat wajah sedih orang kesayanganku.

“Zuhri dah cerita semuanya. Ibu faham. Tapi kenapa Maira tak cerita pada ibu? Kenapa tak balik rumah kita? Kenapa tanggung derita sorang-sorang? Ibu dan ayah ni tak bermakna pada Maira ke?”

“Jangan cakap macam tu ibu. Maira tak mahu susahkan ibu dan ayah. Maira tak mahu ibu dan ayah susah hati.”

“Tapi Maira lebih susahkan hati kami dengan menghilangkan diri macam ni bertahun-tahun. Ibu tak lena tidur fikirkan Maira. Makan ke tidak, ada tempat tinggal selesa ke tak? Selamat ke tak duduk sorang-sorang? Entah kerja apa yang Maira buat.”

“Maira minta maaf.” Tiada ungkapan lain selain maaf sahaja yang terlintas difikiran ketika ini.

“Tapi rupa-rupanya anak ibu ni lebih berdikari. Ibu tak sangka seorang anak yang manja seperti Maira dapat membina kehidupan yang selesa seorang diri. Anak yang selama ini disediakan keperluan tanpa sedikit kekurangan boleh berjaya bila berseorangan tanpa meminta sedikit pun pertolongan dari kami.”

Maira takkan berjaya kalau tak ada Kak Tini, Abang Qiemee, Shaheem dan paling penting Maira ada Allah yang sentiasa ada di sisi. Semua mereka pemberi kekuatan pada Maira ibu.

“Lepas ni Maira balik rumah kita ya sebelum balik Terengganu. Ibu rindu sangat pada Maira. Banyak benda yang ibu nak tanya dan cerita.”

Ibu memelukku erat untuk melepaskan rindu yang sekian lama. Aku hanya berhubung dengan ibu dan ayah melalui telefon sahaja selama aku meninggalkan rumah. Aku juga enggan menyatakan di mana aku tinggal.

“Maira kena balik Terengganu terus ibu. Banyak sangat kerja kat butik. Nanti senang-senang jemputlah datang rumah Maira di Terengganu ya. Masa tu ibu nak tanya apa pun Maira akan jawab. Apa yang ibu nak cerita, Maira akan dengar.” Sebenarnya aku lebih bimbangkan Shaheem yang ditinggalkan dengan pembantu rumah.

“Kalau macam tu, biar kami hantar ke airport,” cadang ayah.

Aku menurut. Mungkin ini sahaja masa yang aku ada untuk melepaskan rindu terhadap mereka. Maafkan Maira ibu, ayah. Maira tak berniat menyembunyikan kehadiran Shaheem. Tapi Maira terpaksa lakukan. Maira tak mahu sesiapa merampas Shaheem dari Maira. Maira masih belum ada kekuatan.

Sedang kami berpeluk-pelukan, Zuhri datang menghampiri kami.

“Ibu, boleh Zuhri pinjam Maira sekejap?”

Ibu mengangguk. Ayah pun sama. Zuhri mengajak aku ke sudut lain. Mungkin tidak mahu perbualan kami didengari oleh kaum keluarga yang lain.

“Maira, I minta maaf untuk terakhir kali. I tahu sepanjang perkahwinan kita I tak pernah jalankan tanggungjawab I dengan sempurna. Ni ada ada cheque untuk you. I harap ni cukup untuk nafkah selama lima tahun perkahwinan kita, nafkah eddah dan mutaah. Kalau terkurang, you beritahu. I harap you jumpa jodoh yang terbaik.” Zuhri menghulurkan sampul coklat kepadaku.

Aku menyambutnya dengan rasa bersalah kerana sebelum ini aku tidak pernah terfikir tentang nafkah yang dinyatakan. Dari segi kewangan aku memang tidak punya masalah langsung.

“Halalkan makan minum saya. Ampunkan saya selama menjadi isteri kepada awak. Maafkan kata-kata saya yang menghiris hati awak. Saya keluar rumah tanpa izin awak. Banyak dosa saya pada awak sepanjang bergelar isteri.” Menitis juga air mata setitik dua. Entah kenapa perasaan sayu timbul ketika ini, ketika talak sudah dilafazkan.

“I ampunkan segala-galanya dan I juga halalkan segala-galanya. Harap you juga macam tu. I harap tiada dendam di antara kita selepas ini.”

Aku pula berharap tak akan berjumpa dengan dia lagi supaya dia tidak tahu tentang kewujudan Shaheem.

Dia menghantar aku kepada ibu dan ayah setelah urusan kami selesai dan tiada apa-apa yang akan dibangkitkan nanti.



SETIBANYA di Lapangan Terbang Kertih, aku disambut oleh Abang Qiemee dan Shaheem yang setia menunggu entah dari pukul berapa.

“Alhamdulillah… Segalanya telah selesai. Lepas ni Maira akan harungi hidup dengan tenang. Beban yang selama ini Maira tanggung terasa ringan malah rasa dah hilang terus. Maira dah bebas dari ikatan perkahwinan yang menyakitkan,” ucapku dengan tenang kepada Abang Qiemee. Tiada lagi rasa bersalah atau berdosa dalam setiap langkahku.

“Maira nak makan dulu atau terus balik?”

“Makan dulu boleh? Tadi tak ada selera langsung sebab teringatkan Shaheem. Dah tengok muka anak mama ni barulah rasa lapar.” Aku memeluk Shaheem yang sedari tadi di dalam dakapan Abang Qiemee.

“Teringat kat anak mama aja ke? Kat papa tak ingat?”

Hailah Abang Qiemee, soalan macam ni tak sesuai langsung buat masa ni.

“Ibu dan ayah sihat?”

Ha… Pandaipun tanya soalan lain.

“Alhamdulillah. Semua sihat.”

“Maira okey kan?”

“Apa yang okey? Abang tengok Maira tak okey ke?”

“Abang nampak Maira tenang. Jadi abang rasa Maira macam tak okey. Biasanya Maira akan menangis atau pengsan dengan berita sedih.”

“Jadi abang suka tengok Maira menangis atau tiba-tiba pengsan di tengah orang ramai?” Pelik pula Abang Qiemee ni. Sepatutnya dia gembira dengan perubahan yang aku tunjukkan.

“Bukan… bukan... Bila sesuatu yang biasa menjadi tak biasa, kita akan rasa lain.”

“Kadang-kadang sesuatu yang tak biasa tu lebih baik dari yang biasa.”

“Dan lahirlah manusia yang luar biasa seperti Puteri Humaira.” Sambil dia bercakap, beg yang kusandang diambil olehnya.

“Abang ni kalau puji mesti melebih-lebih. Kalau marah pun melebih-lebih. Ambil berat tentang Shaheem pun melebih-lebih juga.”

“Ye ke? Tak perasan pun. Tapi kalau ambil berat tentang Shaheem dan Maira memang menjadi keutamaan abang.”

Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi kami walaupun abang sibuk. Terima kasih sebab selalu memahami kami dan terima kasih sebab selalu menjadi papa Shaheem. Entah berapa banyak terima kasih yang perlu aku luahkan pada insan sebaik Abang Qiemee.

“Mama pergi mana? Kenapa tak bawa Shaheem naik aeroplane?” rengek Shaheem yang sejak tadi tidak diendahkan.

“Mama kerja sayang. Nanti kalau mama cuti, kita pergi jalan naik aeroplane dengan papa sekali ya,” pujuk Abang Qiemee sambil mengusap-usap kepala Shaheem lembut.

“Ish abang ni, janganlah berjanji dengan Shaheem. Nanti dia tuntut macam mana?” Tubuh Shaheem sekali lagi kupeluk melepaskan rindu walaupun tidak sampai sehari tidak berjumpa.

“Tak apa mama, memang papa nak bawa Shaheem jalan-jalan nanti.” Abang Qiemee senyum.

“Yey yey.... Naik aeroplane dengan papa.” Shaheem melompat-lompat kegirangan.

“Berapa lama kita nak duduk kat sini? Papa pun dari tadi tak makan lagi sebab risaukan mama. Tengok mama, terus papa rasa lapar,” usik Abang Qiemee sambil menarik senyuman sengetnya yang pasti menggegarkan hati setiap wanita yang melihat.

Oh Tuhan, terima kasih mengurniakan aku insan yang baik sepertinya. Dia sentiasa ada di dalam susah dan senangku, di dalam tangis dan tawaku. Dia sentiasa menjaga sakit peningku. Dia sentiasa menjadi temanku. Dia abangku. Dia papa kepada anakku. Terima kasih Abang Qiemee. Semoga Allah berikan yang terbaik untuk abang.



-BERSAMBUNG-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan