SEHARIAN kata-kata Abang Qiemee bermain-main di kotok fikiran. Adakah aku perlu selesaikan masalah dengan Zuhri segera atau biarkan sahaja?
Saat ini baru teringat lafaz taklik yang Zuhri bacakan di hadapan kadi. Jika dia meninggalkan aku dengan sengaja atau tidak selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan wakilnya tidak memberi nafkah kepadaku selama tempoh yang tersebut pada hal aku taatkan dia atau dia melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badanku, kemudian aku mengadu kepada mahkamah syariah, tertalaklah aku dengan cara talak khuluk.
Dalam kes ni, aku yang tinggalkan rumah. Aku yang tidak taat padanya. Nusyuzkah aku? Sudah hampir setahun kejadian ini berlaku. Jadi bagaimana? Tapi tubuh badanku didera oleh Zuhri. Tertalakkah aku? Perlukah aku menjejakkan kaki ke mahkamah syariah?
Serabut. Tak nak fikir. Teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu fikirkan Zuhri kerana aku sudah ada Shaheem. Biarlah Zuhri sendiri yang datang melafazkan talak jika benar dia sudah tidak mahu aku lagi sebagai isterinya.
Bunyi masej masuk di telefon bimbit mengganggu lamunanku. Nama Abang Qiemee tertera.
-Maira, boleh keluar sekejap?
+Kenapa?
-Nak jumpa Shaheem.
+Dah malam ni.
-Sekejap aja.
Jam di dinding kukerling. Sudah hampir jam 9 malam. Tak pernah lagi dia nak jumpa malam-malam macam ni. Lambat-lambat tudung kusarungkan. Shaheem seperti tahu yang papanya mahu berjumpa. Mataya yang tadi mengantuk tiba-tiba bersinar gembira.
“Anak mama rindu papa ya?” Pipi Shaheem kukucup. Perlahan-lahan tubuh si kecil itu aku angkat dan bawa keluar.
Abang Qiemee setia menanti di luar pagar. Tapi kenapa dia berkemeja di malam-malam buta ni?
“Abang baru balik dari pejabat ke?” soalku.
“Abang nak pergi office.”
Pergi pejabat waktu begini? Pelik.
“Sejak bila pulak abang kerja syif malam?”
“Ada kertas kerja yang kena abang siapkan. Ni pun abang balik sekejap sebab dari pagi tadi abang tak keluar ke mana-mana sampai maghrib. Rasa stres bila sehari tak dapat jumpa Shaheem. Abang nak kumpul sikit semangat dengan tengok Shaheem. Bolehkan?”
Aku anggukkan kepala lalu menyerahkan Shaheem padanya.
“Anak papa ni happy aja. Rindu papa ya?”
Tangan Shaheem meraba-raba pipi Abang Qiemee. Mungkin benar, dia juga rindukan Abang Qiemee.
“Jadi malam ni abang tidur kat office?”
“Tak tidur selagi kertas kerja tu tak siap. Esok pagi dah nak bentangkan pada big boss.”
“Abang dah makan?”
“Tak sempat fikir pasal makan.”
Sayu pula hati ini. Dia sempat fikir tentang Shaheem tapi tak sempat fikir tentang makan. Kalau sakit nanti kan susah. Nak pergi kerja pun tak boleh.
“Abang tunggu sini sekejap. Maira bungkuskan makanan untuk abang ya. Maira ada masak lebih.”
“Terima kasih Maira.”
Aku menghilangkan diri ke dalam rumah untuk membungkus makanan. Kasihannya dia. Mesti dia penat seharian duduk di pejabat dan terpaksa bermalam pula di sana. Tak lama selepas itu aku keluar dengan menjinjing beg kertas berisi bekalan makanan dan sebotol minuman.
“Ni aja yang ada. Nanti abang makan di pejabat ya. Necafe tu buatkan abang segar sepanjang hari. Maira bancuh pekat-pekat, biar abang tak mengantuk.”
Senyuman lebar terpamer di riak wajahnya.
“Abang minta maaf ya Maira. Hati abang tak tenang bila teringatkan kisah semalam.”
“Maira yang salah. Maira memang keras hati. Memang sepatutnya Maira selesaikan masalah dengan Zuhri, tapi Maira tak ada kekuatan lagi. Mungkin Maira perlukan masa.”
“Abang takkan ungkit lagi tentang dia. Maira jangan mengelak dari abang lagi ya. Abang cuma nak tengok Shaheem hari-hari. Shaheem perlukan kasih seorang papa.”
Berat untuk aku beri jawapan. Kalau dia mahu bertemu Shaheem, bermakna aku juga perlu bertemu dengannya. Kalaulah dia memang abang kandungku, semua in takkan jadi masalah.
“Abang, Maira dengan Zuhri ni dah berpisah ke sebenarnya? Tadi Maira search kat internet, kalau 4 bulan suami tak beri nafkah, maka terjatuhnya talak.”
“Abang tak pakar dalam bab agama. Maira kena jumpa orang yang pakar dalam bidangnya. Nanti tersalah info, abang yang berdosa. Kalau Maira nak ke pejabat agama, abang boleh temankan. Satu lagi, jangan percaya pada internet semata-mata. Kena ada gurunya, takut nanti ikut ajaran sesat pulak.”
“Maira tak bersedia nak jejakkan kaki ke sana lagi abang. Tunggulah kalau ada kekuatan nanti.”
“Abang tak nak memaksa. Terpulanglah pada Maira. Ini hidup Maira, abang tak akan aturkan.”
Betul. Hidup aku, jadi biar aku sendiri yang tentukan. Abang Qiemee hanya memberi nasihat sahaja untuk kebaikan aku dan Shaheem.
“Abang sorang saja ke kat pejabat?”
“Linda pun ada. Sepatutnya tu kerja abang. Tapi dia nak tolong. Bagus juga, cepat sikit siap, cepatlah abang rehat.”
Mungkin benar Abang Qiemee dan Linda memang ada hubungan istimewa. Takkanlah Linda sanggup temankan Abang Qiemee seharian tanpa balik rumah. Dan takkan pula Abang Qiemee dengan senang hati terima pertolongan Linda di malam-malam hari.
“Wajah pelik Maira tu abang boleh baca.”
“Apa dia?”
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Abang tak ada apa-apa dengan Linda. Ini kerja pejabat, bukan masa untuk berdating ya. Abang memang tak ada masa untuk semua tu.”
“Sambil menyelam minum air.”
“Tak naklah nanti perut kembung dan abang tersedak.”
Aku ketawa perlahan.
“Anak papa ni dah sihatlah. Dah tak selesema macam semalam. Mama dah tak bawa pergi butik ya.”
Aku senyum melihat keserasian Abang Qiemee dan Shaheem. Shaheem seperti memahami apa yang Abang Qiemee borakkan. Wajahnya sentiasa bercahaya apabila dipangku oleh Abang Qiemee.
“Maira ambil cuti hari ni untuk jaga Shaheem,” terangku tanpa dipinta.
“Abang rasa baik Maira ambil pembantu rumah. Tak payah hantar Shaheem pada pengasuh. Kalau Maira kena pergi butik hari cuti, sekurang-kurangnya pembantu rumah boleh tengokkan Shaheem. Maira kan tak nak abang jaga Shaheem.”
“Biar dululah. Lagipun Maira tengah kumpul duit ni. Maira tak nak susahkan abang. Abang tu pandai ke uruskan bayi macam Shaheem ni?”
“Hmmm, tak susah pun nak jaga Shaheem. Maira tu pun abang yang jaga masa baby tau. Setakat nak tukarkan lampin dan beri susu pada Shaheem, bukannya susah sangat. Shaheem pun tak banyak ragam. Lagipun abang memang suka bersusah untuk Maira dan Shaheem. Barulah ada makna dalam hidup.”
“Abang tu dah mulalah tu...”
“Tengok pipi mama dah merah. Tak boleh bergurau, cepat sangat malu pelangi abang ni.”
Aku tunduk. Memang dari dulu perasaan malu ini ada tapi cepat-cepat aku hindarkan apabila teringatkan yang dia hanya anggap aku sebagai adiknya.
“Lega hati abang bila Maira tak marah lagi. Abang nak buat kerja pun senang hati.”
“Jadi sepanjang hari ni abang tak senang hati ke?”
“Sepanjang siang tadi tak sempat nak rasa apa yang ada dalam hati ni sebab terlalu sibuk. Bila idea hilang, masa tulah hati rasa tak senang. Terus teringatkan Maira dan Shaheem. Kalau Maira dah boleh tersenyum macam ni, cepatlah kerja abang siap.”
Ambillah senyum ini kalau itu yang boleh membantu dia. Simpanlah senyum ini kalau itu yang boleh menenangkannya.
“Termenung… Ingatkan siapa?” sapa Abang Qiemee.
“Apa abang cakap tadi?” soalku.
“Ingatkan siapa?”
“Ingatkan abang… Eh bukan…”
Tersuging senyuman di bibir Abang Qiemee.
“Tengok tu Shaheem, mama teringatkan papa. Patutlah dia tersenyum-senyum.”
Matanya memandang Shaheem tapi ayat itu ditujukan padaku. Aduhhh malunya…
“Dah setengah jam abang kat sini. Nanti Linda kerja sorang-sorang pulak.”
“Lupa pulak pasal kerja. Kalau dah jumpa Shaheem ni, memang lupa benda lain. Rasa sekejap aja jumpa dia.” Pipi Shaheem dikucup berulang kali.
“Esok jumpa lagi ya sayang papa.” Dia menyerahkan semula Shaheem padaku dan aku menghulurkan beg kertas tadi padanya.
“Hati-hati abang,” pesanku.
“Hati abang dah tak ada. Dah dibawa lari.”
Sempat lagi dia bergurau sebelum pintu kereta dibuka.
“Kejarlah orang yang bawa lari hati abang tu.”
“Memang abang ikut dia rapat. Sampai masanya nanti abang terus sambar orang yang bawa lari hati abang tu.”
“Ada-ada aja abang ni. Jangan ada orang lain sambar sudahlah.”
“Buat masa ni abang tak nampak ada yang nak sambar.”
“Dah… Dah… Kalau layan abang, sampai esok pun tak sudah.”
“Pergi masuk dulu.”
Aku akur. Tangan Shaheem kulambai-lambaikan ke arah Abang Qiemee sambil mulut bergerak dengan ucapan ‘bye bye papa’ dan Abang Qiemee membalasnya.
Hati ini benar-benar yakin dia dan Linda ada hubungan. Orang yang bawa lari hatinya itu pasti Linda kerana dia sendiri mengaku dia ikut rapat orang itu. Siapa lagi kawan perempuan yang dia ada selain Linda?
Maira… Maira… Jangan sibuk hal orang. Hal sendiri pun tak selesai dah sibuk-sibuk nak ambil tahu kisah cinta orang lain. Doakan sajalah kebahagiaan Abang Qiemee dan pasangannya.
Sempat lagi nak bergosip antara hati dan otak ni. Aku geleng kepala sebelum masuk ke rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan