BREK tangan ditarik Abang Qiemee setelah
kereta dipakir di kawasan meletak kereta di Pantai Kemasik. Kami sama-sama
keluar dan menuju ke arah pantai.
“Kenapa pantai ni?” Aku kehairanan di saat kaki menjejak
pasir pantai yang lembut keemasan.
“Maira tak suka? Kalau macam tu kita pergi tempat lain,”
cadang Abang Qiemee.
“Bukan. Maksud Maira kenapa kat sini? Dekat Terengganu ni
banyak lagi pantai yang cantik dan selesa untuk berkelah. Tapi sejak dulu lagi
abang suka sangat ke pantai ni. Apa yang istimewanya? Banyak batu dan tak boleh
mandi pun.”
“Oh macam tu... Sebenarnya abang rasa tenang dekat sini.
Tengok pemandangan, tengok budak-budak main layang-layang, tengok bot nelayan.
Kalau abang tengah stres atau down, abang mesti datang sini. Lihat kebesaran
dan kekuasaan Allah. Lihat air laut yang begitu luas, tengok langit yang indah
dan hirup udara yang segar. Tengok bongkah-bongkah batu yang ada kat
tengah-tengah laut macam pulau. Kalau kat KL tak dapat rasa semua ni. Yang
penting pantai ni dekat dengan rumah kita. Jadi tak perlulah abang memandu
berjam-jam untuk ke pantai.” Abang Qiemee memejamkan mata sambil menarik nafas
panjang seolah-olah menikmati apa yang ada di sekelilingnya.
Lelaki di hadapanku ini tidak pernah merungut itu dan ini.
Tak pernah walau sekalipun aku mendengar dia mengeluh tentang kerjanya atau
tentang kehidupan peribadinya. Pandainya dia merahsiakan masalah.
Raut wajahnya yang bersih kuamati. Dia kelihatan tenang.
Sentiasa tenang. Tapi tak adil kenapa lelaki ini tidak mahu berkongsi masalah
denganku sedangkan aku sentiasa menceritakan masalah yang aku alami tidak kira
masalah butik atau di rumah.
“Satu lagi abang suka makan sotong goreng tepung dan
keropok lekor dekat sini,” sambung Abang Qiemee apabila dia membukakan mata.
Cepat-cepat pandangan kubuang ke laut. Nasib baik dia tak perasan aku sedang
memerhatikannya.
“Anak papa, jom kita main dekat playground. Kasi chance
dekat mama layan perasaan. Lain kali mama jangan tengok muka papa yang handsome
ni lama-lama nanti terpikat pulak. Papa susah, mama lagi susah,” kata Abang Qiemee
lalu memeluk bahu Shaheem dengan mesra.
Aduh... Aku tersentak. Sejak bila dia boleh memandang
dengan mata yang tertutup? Atau pun dia ada mata sisi yang tersorok di balik
rambut? Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum untuk menutup rasa malu.
“Hati-hati, nanti jatuh,” laungku yang melihat Shaheem
lari terkedek-kedek menuju ke taman permainan.
Setelah setengah jam melayan Shaheem, Abang Qiemee mengambil
tempat di sebelahku yang sibuk dengan telefon bimbit melayan pelanggan online.
“Sempat lagi bekerja? Hmmm... Kenapa tak suruh pekerja
Maira aja yang layan pelanggan butik?”
“Kan tengah cuti ni. Takkan nak ganggu cuti pekerja?
Biarlah dia orang cuti dengan tenang. Maira pun tak suka diganggu waktu cuti.
Inikan pulak pekerja. Mestilah dia orang ada life sendiri. Ada keluarga untuk
dilayan. Ada hal peribadi untuk dibuat. Maira tak nak jadi majikan yang kejam.
Perah tenaga pekerja hingga kering, tak kira siang atau malam. Abang pun sama
jugak kan, tak suka orang lain kacau waktu cuti dan waktu rehat abang.”
Cuma keadaan sebagai majikan berbeza sedikit dan terpaksa
bekerja ketika bercuti. Itu adalah tanggungjawab, jadi kena laksanakan.
“Maira terlalu kuat bekerja sampai lupa nak rehat.”
“Kalau Maira tak kuat bekerja macam mana nak tanggung
keperluan harian? Rumah dan kereta kena bayar. Sewa butik lagi, Shaheem dah
besar, minum susu pun banyak.”
“Tapi curilah masa sikit untuk rehat. Pergi bercuti ke,
pergi spa ke.”
“Okeylah, kalau sempat Maira pergi.” Malas nak panjangkan
lagi topik berehat dan kerja keras dengan Abang Qiemee. Memang tak akan
selesai.
“Shaheem dah lasak dan berat. Penat juga kejar dia. Jom
kita minum kat gerai tu. Abang hauslah.” Abang Qiemee mengangkat jari
telunjuknya menghala ke sebuah gerai berdekatan.
Aku angguk. Kami berjalan beriringan. Air kelapa, sotong
goreng tepung dan keropok lekor kegemaran Abang Qiemee sedia terhidang selepas
Abang Qiemee membuat pesanan. Kami menikmati makanan yang ringkas tapi lazat
itu bersama.
“Abang Qiemee, tak acilah,” aku bersuara.
Dia mengerutkan
dahinya. Tidak memahami apa yang aku katakan.
“Abang ada masalah tapi tak bagi tahu Maira pun.”
“Mana ada. Serkap jarang nampak.” Abang Qiemee menyuap sepotong
keropok lekor yang telah dipatah-patahkan menjadi potongan kecil ke dalam mulut
Shaheem yang duduk di atas ribanya.
“Tadi abang cakap kalau abang stres, abang datang sini.
Maksudnya sekarang ni abang ada masalah kan?” tanyaku rambang.
“Mama Maira, bukan masalah besar pun. Setakat beban kerja
biasalah tu.”
“Sebut pasal kerja, teringat pulak dekat Linda. Apa khabar
dia? Abang tak bagi peluang pada dia?”
“Err... Maira tu mulalah nak jodoh-jodohkan abang. Linda
dah kena transfer.”
“Tapi kenapa? Dia kan suka kerja dengan abang?”
“Maira ingat abang tak tahu kenapa Maira berubah? Mengelak
dari jumpa abang. Busy sangatlah, banyak kerjalah, penatlah. Sebenarnya abang
tahu Linda ada jumpa Maira. Dia suruh Maira jauhkan diri dari abang kan?”
“Mana ada,” sangkalku.
“Tak payah nak tipu. Empat tahun lepas masa kita makan di
Awana, Maira terjumpa dia kan?”
Aku diam lagi. Sotong goreng tepung yang sebentar tadi
kurasa sangat enak dan lazat tapi kini seperti mengunyah getah pula.
“Okey tutup buku lama. Tak payah cerita tentang Linda lagi
sebab dia memang tak ada kena-mengena dalam hidup abang. Esok abang ada meeting
dan kursus dekat KL.”
“Berapa lama?”
“Dua minggu.”
“Lamanya.”
“Kenapa? Rindu pada abang?”
“Tak adalah rindu. Cuma rasa lain bila abang tak ada. Abang
naik flight?”
Dia senyum senget seolah-olah menuduh aku sedang berbohong
dengan jawapan yang aku berikan.
“Abang drive
sendiri. Senang nak balik rumah mak.”
“Cop! Abang meeting esok, jadi pukul berapa abang nak
bertolak ni? Abang sorang ke berteman?” Dengan serta-merta riak wajahku bertukar
cemas.
“Sorang. Lepas isyak nanti abang bertolak.” Dia tetap
tenang. Aku pula yang cuak.
“Ha? Jadi kenapa ajak Maira dan Shaheem keluar?”
“Saja nak tengok Shaheem dan Maira lama-lama. Takut rindu
nanti.”
Kalau aku ni spises yang mudah perasan dan menggedik mesti
aku ingat dia sukakan aku. Tapi aku sedar aku masih isteri orang dan dia anggap
aku seperti adiknya.
“Maira rasa
bersalah sangat ni. Sepatutnya abang duduk kat rumah, rehat cukup-cukup. Nanti
abang penat ke mengantuk ke macam mana? Kalau ada yang teman tak adalah Maira
risau sangat.”
“Erm... Kalau rasa bersalah, apa kata ikut abang balik KL?
Boleh Maira temankan abang berbual dalam kereta. Tak adalah abang mengantuk
nanti,” cadang Abang Qiemee.
“Abang tahukan jawapannya. Maira tak sedia nak balik KL
lagi.”
“Gurau je. Abang faham. Dah, jangan sedih-sedih. Kalau ada
apa-apa call aje abang. Kalau tak dapat call, whatsapp atau sms ya. Biasanya
dalam bilik meeting abang akan silent kan handphone.”
Aku angguk tanda faham.
“Rindulah papa dengan anak papa ni nanti.” Pipi Shaheem
diciumnya berkali-kali.
“Shaheem sayang papa?”
“Sayang papa,” Shaheem mengajuk kata-kata Abang Qiemee.
“Shaheem rindu papa?”
“Rindu papa.”
Hailah anak kenapa diulang pertanyaan papa tu?
“Papa sayang mama.” Aku terpaku. Kenapa Abang Qiemee cakap
macam tu?
“Sayang mama.” Terdengar gelak tawa Abang Qiemee.
“Shaheem ni ambil perkataan yang belakang aja.” Oh dia nak
uji kepetahan Shaheem rupanya. Lega.
“Maira pegang Shaheem kejap,” pintanya.
Abang Qiemee bangun dan meletakkan Shaheem di atas ribaku.
Kemudian dia keluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluar.
“Senyum,” katanya sambil menghalakan telefon bimbit ke arah
kami.
“Abang nak buat apa?”
“Ambil gambar Maira dan Shaheem lah.”
“Nak buat apa?” Aku tidak selesa apabila gambarku turut
ingin diambilnya.
“Kalau abang rindu kat Shaheem, bolehlah abang tengok
gambar dia.”
“Ambil gambar Shaheem ajalah.”
“Kalau abang rindu kat adik abang ni, bolehlah abang
tengok handphone ni.”
“Macam-macamlah abang ni.” Akhirnya aku terpaksa juga
mengalah.
Dah puas dengan hasil tangannya yang mengambil gambar kami
dia mengeluarkan sesuatu dari dompetnya.
“Abang ada satu rahsia nak bagi tahu Maira ni?”
Macam serius aja bunyinya. Rahsia apa pula? Wajah kukerutkan
ketika mata ini melihat tingkah-lakunya.
“Maira tengok ni. Maira kenal tak siapa?” Abang Qiemee
menghulurkan sekeping gambar. Ada dua orang budak lelaki dan seorang budak
perempuan yang sedang di dukung oleh salah seorang budak lelaki itu.
“Eh
macam mana gambar Maira boleh ada dalam dompet Abang Qiemee? Abang curi ya?”
tuduhku.
“Mana
ada abang curi. Ni gambar kita masa kecil dulu. Arwah abah yang ambil gambar
ni. Gambar-gambar dengan Maira je yang sentiasa jadi kenangan buat abang. Lepas
Maira pindah ke KL, abang demam panas sebab rindukan Maira. Abah suruh abang
simpan gambar ni supaya dapat hilangkan rindu pada Maira. Hari-hari abang
berdoa supaya Allah temukan abang dengan baby semula. Nama Maira abang tak
tahu. Tanya pada mak pun mak tak tahu. Hanya nama baby aja yang kami ingat. Alhamdulillah
Allah makbulkan doa abang.”
Keluarga kami memang sudah lama
bersahabat. Sejak aku kecil lagi. Setelah ayah dan ibu berpindah dari JB ke KL,
mereka terputus hubungan. Hubungan aku dan Saif rupa-rupanya menyambung semula
persahabatan keluarga kami.
“Alahai terharunya Maira. Tapi Maira
memang tak ingat semua tu. Maira minta maaf.”
“Tak
apa, Maira kecil lagi time tu. Apa pun
abang bersyukur sangat sebab dah jumpa Maira semula. Abang tak nak Maira hilang
dari abang lagi.”
“Abang yang hilangkan diri dari
Maira.” Air mata mula bergenang apabila teringatkan kembali bagaimana Abang
Qiemee tiba-tiba menghindarkan diri.
“Tu dulu. Memang salah abang
menghilangkan diri dari Maira. Semua orang pernah buat silap. Saif pun pernah
buat silap. Abang cuba perbaiki kesilapan abang.” Suara Abang Qiemee juga
tiba-tiba mengendur. Adakah dia juga menahan sedih sama seperti aku?
“Kenapa abang cakap pasal Saif?”
“Maira tak maafkan dia lagi?”
“Maaf… Hmmm susah nak cakap. Kadang-kadang rasa macam nak
maafkan, tapi bila fikir balik apa yang dah berlaku rasa macam tak mahu
maafkan. Hati
tiba-tiba rasa sakit bila kenangkan tindakan Saif tu.”
“Tak jatuh pun martabat Maira kalau maafkan dia.”
Aku menggeleng-gelengkan kepala apabila teringatkan apa yang
telah Saif buat. Dia seperti badi padaku. Bila terjumpa dia, pasti ada sesuatu
yang buruk bakal berlaku.
“Otak Maira ni bukan macam computer. Formatkan otak ni dan
semuanya hilang. Kalau boleh buat, Maira buang semua memori tentang dia dan
Maira memang tak mahu ingatkan dia lagi.”
“Keras hatilah adik abang ni. Apa yang Maira dapat kalau tak
memaafkan seseorang?”
“Tak tahu,” jawabku malas.
“Hati Maira takkan tenang sebab asyik memikirkan kesalahan
dia. Hati sentiasa sakit kalau teringatkan dia. Rasa nak marah bila setiap kali
teringatkan apa yang dia dah lakukan pada Maira. Lama-lama perasaan tu akan
jadi dendam.”
Ya memang betul semuanya yang Abang Qiemee kata. Hati ini
tak pernah tenang.
“Entah-entah orang yang Maira tak maafkan tu hidup bahagia.
Rasa buang masa tak berdendam dan tak maafkan orang? Kalau kita maafkan salah
orang pada kita, hati kita pun tenang. Maira akan rasa betapa manisnya sebuah
kemaafan tu.”
Aku menarik nafas panjang. Kemaafan ikhlas dari hati. Tapi
untuk mencari ikhlas itu aku sendiri tidak tahu bagaimana caranya.
“Mungkin bukan sekarang. Tapi tak tahulah pulak kalau
tiba-tiba esok terbuka hati Maira ni nak maafkan dia.”
“Abang doakan supaya Allah lembutkan hati adik abang ni
suatu hari nanti.”
“Tak naklah cakap tentang Saif lagi.”
“Maira tak maafkan abang jugak?” Tiba-tiba wajahnya menjadi
keruh.
“Kenapa abang tanya macam tu? Salah apa yang abang buat pada
Maira?”
“Abang putuskan hubungan dengan Maira dengan tiba-tiba.
Abang tak balas semua e-mel yang Maira hantar pada abang lepas kita berjumpa
waktu kenduri kat rumah mak. Abang tak datang kenduri kahwin Maira.”
“Apa pun salah abang, Maira akan maafkan. Budi abang yang
sebesar gunung pada kami, tak dapat Maira nak balas. Apalah sangat untuk
maafkan abang. Maira pasti abang ada sebab sendiri kan. Maira pun buat benda
yang sama lepas tahu Saif curang. Maira tak nak ada apa-apa kaitan dengan
keluarga abang.”
Wajah Abang Qiemee yang keruh tadi, kini ternampak
kemerah-merahan dengan sekuntum senyuman.
“Budi yang abang berikan ikhlas dari hati. Abang tak pernah
minta Maira balas. Cukuplah Maira beri keizinan pada abang untuk jengok Shaheem
setiap hari.”
Setakat nak jengok Shaheem setiap hari bukannya masalah
besar. Kalau aku tiada di rumah, bibik ada untuk berikan Shaheem padanya. Rumah
Abang Qiemee juga seringkali menjadi tempat permainan Shaheem.
“Dah nak maghrib ni. Jom balik. Abang tu nak bersiap ke KL
pulak.”
Kami meninggalkan Pantai Kemasik sebelum laungan azan
maghrib. Semoga perjalanan Abang Qiemee dipermudahkan dan selamat pergi dan
balik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan