Sabtu, 1 Oktober 2016

RULE UNTUK CALON ISTERI BAB 6

SUDAH dua minggu berlalu sejak kejadian aku perang dingin dengan Abang Qiemee. Sejak itu aku sering kali mengelakkan diri darinya. Aku juga sering pulang lewat supaya tidak berjumpa dengannya. Ada sahaja alasan yang aku berikan setiap kali dia hubungi. Banyak kerja, tempahan terlalu banyak, sibuk dengan perniagaan online, kena kerja keras untuk kumpul modal.

Hari cuti pun aku sibukkan diri. Sengaja aku bawa Shaheem bersama ke butik supaya tidak bertembung dengannya di luar rumah.

Semenjak aku bekerja semula, Shaheem kuhantar ke rumah pengasuh. Kadang-kala Shaheem kubawa ke butik apabila pengasuhnya bercuti. Kak Tini juga tidak kisah aku membawa Shaheem asalkan kerja siap.

“Hari ni Mama Maira bawa baby Shaheem lah…” tegur Kak Tini.

“Pengasuh dia cutilah kak.”

“Tak apa, Shaheem ni budak baik, tak banyak ragam. Untung Maira dapat anak yang tak banyak ragam.”

“Alhamdulillah.” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan dengan kebesaran Allah yang mengurniakan aku anak seperti Shaheem.

Shaheem seperti memahami mamanya perlu berkerja keras untuk menyara kehidupan.  Dia menangis bila lapar atau lampin basah. Selebihnya dia tidur atau bermain sendiri. Kadang-kala pekerja yang lain turut sama melayan Shaheem yang sudah pandai ketawa apabila diagah.

Semoga dengan kesibukan aku ini Abang Qiemee akan bosan denganku dan kembali pada Linda atau mencari cintanya. Aku tidak sanggup dihukum sebagai perampas kebahagiaan orang lain. Cukup dua kali aku gagal dalam cinta, tidak sanggup aku melihat orang lain juga gagal sepertiku dan lebih teruk gagal kerana aku.

“Maira, akak betul-betul nak jual butik ni. Suami akak dah bising suruh jual. Semua urusan kat sana dah selesai. Dia tunggu akak nak ke sana aja. Paling lambat bulan depan. Maira nak tak butik akak ni? Kalau tak, terpaksalah akak jual pada orang lain. Akak nak jual kat Maira sebab akak percaya Maira mesti boleh majukan butik ni. Lagipun kita dah ada pelanggan tetap. Sayang pula nak jual pada orang lain,” Kak Tini menyuarakan hasrat hatinya.

“Nak tu memang nak kak. Tapi Maira tak cukup modal lagi.”

“Okey akak kurangkan dari 20k ke 15k untuk cover modal aja.”

“Memang tak cukup kak. Nampaknya tak ada rezekilah Maira nak jadi taukeh butik ni. Tapi kalau Maira bayar pendahuluan dekat akak selebihnya Maira buat ansuran, akak boleh terima tak?” Aku buat muka sedih meminta supaya cadanganku diterima.

“Kita tengok minggu depan. Nanti akak bincang dengan husband akak dulu.” Keruh air muka Kak Tini.

Kak Tini memang sayangkan butik ini setelah diusahakan sejak sekian lama. Tapi dia lebih sayangkan suaminya. Memandangkan aku adalah orang kepercayaannya sebab itulah Kak Tini yakin hanya aku yang mampu mengusahakan butik ini.

Tapi bagaimana untuk mendapatkan modal? Tak sanggup rasanya menebalkan muka meminta pada ibu dan ayah. Cukup-cukuplah aku menyusahkan mereka selama ini.

Untuk terima pelawaan Abang Qiemee juga aku enggan. Dah terlalu banyak budi yang ditabur. Cukuplah setakat itu. Lainlah jika Kak Tini bersetuju dengan cadangan aku sebentar tadi. Tak perlu aku meminta pertolongan dari sesiapa.

“Tadi ada orang cari Maira.”

Aku selak lengan baju untuk melihat jam tangan. Baru pukul 11 pagi dah ada yang cari? Tapi siapa?

“Dia cakap nama dia Qiemee. Dia tanya Shaheem ada sekali dengan Maira ke? Akak jawab Maira tak sampai lagi. Siapa Qiemee tu? Suami Maira ke?”

“Ta… Tak…” jawabku teragak-agak.

“Abang Maira. Maira lupa charge handpone semalam. Mungkin dia tak dapat hubungi Maira agaknya.”

Abang Qiemee ni, sampai ke butik dia cari aku. Entah apalah yang dia nak.

“Terima kasih kak. Nanti Maira call dia balik.”

Kak Tini anggukkan kepala dan mengambil Shaheem masuk ke bilik pejabatnya.



SESAMPAINYA di luar rumah, Abang Qiemee sudah menunggu di luar pagar dengan memerhatikan aku diiringi jelingan tajam. Aku tidak mengendahkan jelingannya itu. Pantas Shaheem kukendong untuk masuk ke dalam rumah.

“Maira, berapa kali abang pesan jangan bawa Shaheem pergi butik. Bahaya, banyak habuk. Nanti Shaheem sakit,” dia menyapaku apabila aku langsung tidak mengendahkannya. Aku yang ingin membuka pagar dihalangnya.

“Shaheem anak Maira, tahulah Maira jaga. Lagipun Maira terpaksa bawa dia sebab pengasuh tak ada hari ni,” aku memberi alasan.

“Kenapa tak bagi pada abang untuk jaga? Selama ni Maira tahu abang cuti weekend kan? Tengok ni Shaheem dah selsema.” Abang Qiemee merampas Shaheem dari dalam pelukkanku. Hingus Shaheem yang meleleh dikesat dengan jarinya.

“Bagi beg Shaheem pada abang. Abang nak bawa dia pergi klinik,” kata Abang Qiemee dalam nada yang geram.

“Tak payah, dah malam ni. Biar Maira aja yang bawa Shaheem pergi klinik esok. Lagipun ni anak Maira, tanggungjawab Maira!” Aku mula berkeras.

“Ni anak abang juga!! Ikut abang pergi klinik. Jangan banyak cakap!! Masuk kereta sekarang!!” tengkingnya.

Ini kali pertama aku dilayan begitu oleh Abang Qiemee. Sebelum ini dia tidak pernah meninggikan suara padaku. Mungkin ini sisi sebenarnya. Aku yang terkejut dengan arahannya akur masuk ke dalam kereta dengan pelbagai rasa.

Setelah kereta dipakir di luar klinik, Abang Qiemee terus merampas Shaheem dariku. Aku ditinggalkan di dalam kereta tanpa dia menunggu aku untuk keluar. Mungkin terlalu risau dengan kesihatan Shaheem. Aku keluar dari kereta dan terkejar-kejar mengikut langkah Abang Qiemee.

Setelah pemeriksaan doktor, Shaheem hanya selsema biasa. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Doktor juga tidak memberi ubat kerana bayi di bawah umur 6 bulan tidak seharusnya diberi makanan lain selain susu ibu. Penawar yang paling mujarab adalah kerap memberikan susu ibu padanya untuk membentuk antibodi. Aku nampak wajah kelagaan Abang Qiemee dengan penerangan dari doktor.

“Abang terlalu melebih-lebih. Terlalu risaukan Shaheem,” rungutku di dalam kereta.

“Maira minum ais ke? Maira tak jaga makan kan sampai Shaheem sakit?”

“Mana ada. Ais tak elok untuk ibu yang menyusukan anak. Maira sentiasa ambil makanan yang bekhasiat. Maira tak mahu sakit. Siapa yang nak jaga Shaheem kalau Maira sakit?”

“Kalau macam tu mesti sebab habuk kat butik. Sebab tu abang tak kasi Maira bawa Shaheem ke butik. Maira tak kesian pada dia? Umur macam ni terpaksa tanggung siksa untuk bernafas. Kita yang besar ni pun tak selesa bila selsema, inikan pula Shaheem.”

“Maira terpaksa. Maira tak mahu susahkan abang.”

“Abang tak pernah rasa susah untuk jaga Shaheem malah abang suka kalau dia ada di depan mata. Maira tahu kan hidup abang hanya ada Maira dan Shaheem di sini. Kenapa Maira siksa abang? Kenapa elakkan diri dari abang? Dah dua minggu tak jumpa Shaheem. Rasa macam nak gila.”

“Maira minta maaf. Tapi Maira rasa bersalah setiap kali bersama dengan abang. Berdosa rasanya Maira keluar rumah tanpa izin suami. Keluar dengan lelaki yang bukan mahram lagilah rasa berdosa. Setiap langkah Maira penuh dengan dosa. Boleh mendatangkan fitnah. Dan Maira sendiri pernah rasa macam mana sakitnya difitnah.” Aku benar-benar maksudkan apa yang aku katakan.

“Jadi sebab tu Maira hindarkan diri dari abang?”

Aku angguk.

“Maira kena selesaikan masalah Maira dengan Zuhri segera kalau tak mahu diselubungi rasa bersalah sepanjang masa. Dia terima atau tidak, Maira tetap kena selesaikan. Tadi Maira kata setiap langkah Maira penuh dengan dosa, jadi sampai bila Maira nak hidup macam ni? Sampai bila nak kumpul dosa?”

“Maira belum ada kekuatan.”

“Selagi masalah ni tak selesai selagi tu Maira nak juahkan diri dari abang?”

“Nantilah Maira fikirkan. Maira nak tumpukan dulu pada bisnes. Maira jadi ambil butik Kak Tini kalau Kak Tini setuju Maira bayar ansuran pada dia,” aku mengalihkan topik perbualan kami. Kepalaku serabut apabila memikirkan masalahku dan Zuhri yang tiada penyelesaian.

“Modal dah cukup?”

Aku geleng. “Tapi Maira bayar pendahuluan. Selebihnya bayar ansuran.”

“Kenapa Maira tak nak terima pelawaan abang?”

“Pelawaan apa?”

“Abang tolong bayarkan baki modal kedai tu. Kalau Maira nak bayar ansuran, bayar pada abang. Jangan menyusahkan Kak Tini. Dia mesti nak guna duit tu.”

“Maira tak nak susahkan abang. Tolonglah abang, fikirkan masa depan abang sendiri. Linda tu betul-betul sukakan abang.”

“Linda Linda Linda.... Kenapa Maira asyik sebut nama dia?”

“Tak kisahlah siapa pun. Tapi abang jangan bersusah kerana Maira.”

“Selagi Maira ada depan mata abang, selagi tu abang akan bersusah untuk Maira. Tak ada sesiapa yang akan halang abang.”

“Jadi abang nak Maira hilang dalam hidup abang?”

“No!! Of course no! Maira jangan lari dari abang. Boleh tak Maira anggap abang ni macam abang Maira sendiri? Pelindung Maira dan Shaheem.”


“Apa pun tetap berdosa. Dah malam ni, Maira masuk dulu. Terima kasih sebab bawa kami pergi klinik,” kataku apabila kereta sudah siap dipakir di depan rumahnya.

BERSAMBUNG

4 ulasan: