ABANG Qiemee datang ke rumahku dengan keadaan yang terkocoh-kocoh. Pintu kubuka perlahan-lahan dengan menahan sakit yang teramat sangat apabila mendengar suaranya yang cemas.
“Abang Qiemee, maaf menyusahkan abang.” Dalam menahan sakit, aku masih mampu bekata-kata.
“Tak apa Maira. Sekarang abang nak buat apa ni?” Abang Qiemee seperti tidak tentu arah. Yang sakitnya aku, tapi dia pula yang cemas.
Sejak dari subuh tadi aku sudah rasa lain macam. Pada mulanya sakit sedikit, tidak lama selapas itu semakin kerap. Hanya nama Abang Qiemee sahaja yang aku ingat di waktu itu. Lantas tangan ini mendail nombor telefon bimbitnya. Mujur jarak tempat kerjanya dengan rumah tidak jauh. Sekejap sahaja dia sudah sampai.
“Tolong hantar Maira pergi hospital. Tu beg baby, tolong ambil sekali.” Aku menuding jari ke arah beg yang ada di atas meja.
“Okey.” Abang Qiemee menyambar beg yang ditunjukkan olehku. Dia memapahku yang di dalam kesakitan masuk ke dalam kereta. Kemudian terus memecut laju ke destinasi.
“Maira banyakkan selawat. Minta pada Allah semoga dipermudahkan.”
“Ya abang. Tapi abang bawa kereta pun elok-elok juga. Jangan laju sangat. Dari sakit nak bersalin, terus Maira rasa macam nak kena sakit jantung.” Dengan nafas yang tercungap-cungap, sempat juga aku menasihatinya.
“Sorry. Abang nak lekas sampai kat hospital. Dahi Maira tu dah basah dengan peluh. Maira tahan sikit ya, kita dah nak sampai ni.”
Tiada reaksi dariku. Mata kupejam rapat-rapat menahan sakit. Bibir tidak lekang dari membaca zikir dan menyebut kalimah Allah. Semoga Allah permudahkan segalanya bagiku.
Sesampainya di hospital, Abang Qiemee menguruskan pendaftaranku. Aku terus diusung ke dalam labour room. Doktor dan jururawat datang memeriksa. Aku dengar perbualan antara mereka laluan sudah terbuka dan bila-bila masa sahaja boleh melahirkan.
“Puan, kalau terasa sakit terus push sampai saya kata berhenti,” kata jururawat di hadapanku.
Aku menganggukkan kepala tanda faham. Ya Allah sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Inilah rupanya rasa penyakit ke dua yang paling sakit sebelum mati. Mungkin sakit ini akan menjadi kurang jika Zuhri ada di sisi berkongsi segala rasa.
Dengan berbekalkan tenaga yang ada aku mengikut segala arahan jururawat dan doktor. Tetapi aku masih tidak berjaya mengeluarkan si kecil di dalam perut ini. Peluh menitik laju bersama air mata.
Anak mama cepatlah keluar sayang. Kasihanlah pada mama yang terpaksa tanggung kesakitan ni sorang. Bibir kuketapkan sambil hati berbicara. Aku teresak-esak apabila teringatkan Zuhri yang tiada di sisi.
“Puan jangan buang tenaga dengan menangis. Nanti kalau puan penat dan tiada tenaga kami terpaksa bawa puan ke bilik bedah dan bersalin secara pembedahan. Puan tarik nafas dalam-dalam dan push dengan tenaga puan yang ada apabila terasa contraction. Doa pada Allah supaya permudahkan. Lagi sikit aja ni,” jururawat menasihatiku setelah terlihat aku seperti sudah berputus asa.
Setelah lebih satu jam bertarung nyawa, akhirnya aku selamat melahirkan. Terdengar suara tangisan comel anakku di ruangan ini. Allhamdulillah syukur Ya Allah dengan kurnia-Mu yang satu ini.
“Puan ni suami puan, tak sempat masuk temankan puan tadi.” Seorang jururawat datang kepadaku bersama Abang Qiemee yang mengekorinya dari belakang.
“Patutlah baby comel sangat. Mama dia cantik, papa dia handsome.”
Aku hanya mampu menahan rasa. Dia bukan suamiku. Dia adalah penyelamatku. Tapi itu semua tidak terluah. Hanya mampu kuungkapkan di dalam hati.
“Encik bolehlah azankan baby sekarang ya,” sambung jururawat itu seraya menyerahkan si kecil itu pada Abang Qiemee.
Abang Qiemee senyum kepadaku sambil menyambut anak kecil itu dari tangan jururawat. Sedangkan aku hanya mampu tersenyum kelat.
Alunan azan dari mulut Abang Qiemee menambah sebak di hati. Aku hanya mampu melihat dua insan di sini dengan pelbagai rasa.
“Alhamdulillah,” suatu perkataan yang terpacul dari mulut Abang Qiemee selepas selesai mengazankan. Kemudian dikucup ubun-ubun si kecil itu perlahan.
Sakit sebentar tadi seolah-olah terus hilang apabila menyaksikan si comel yang dipangku oleh Abang Qiemee menggerak-gerakkan tubuhnya seperti menerima salam perkenalan dari Abang Qiemee.
“Baby Maira dapat baby boy. Lepas ni abang tak boleh panggil Maira baby lagilah. Kena panggil Mama Maira. Tengok ni pipi dia merah sama macam Maira.” Abang Qiemee duduk di sisiku dengan memangku bayi comel itu.
“Terima kasih abang. Sepatutnya masa-masa macam ni suami Maira yang ada di sisi. Temankan Maira dalam labour room, beri semangat dan kekuatan pada Maira, azankan baby. Tapi abang pula yang gantikan tugas dia. Maira minta maaf banyak-banyak sebab menyusahkan abang, ganggu waktu kerja abang,” aku meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Suara sudah serak menahan tangis.
“Everything is for you Mama Maira. Abang akan jaga Maira selagi Maira sudi. Tak mau sedih-sedih, tek elok untuk ibu dalam pantang. Emosi kena jaga, lagipun semuanya dah selamat. Apa yang nak disedihkan lagi?”
“Tak apa ke abang ponteng kerja ni?” tanyaku dengan rasa bersalah.
“Abang dah minta cuti kecemasan daripada bos. Lagipun Linda ada untuk cover kerja abang. Maira tak payah risau. Cuti abang banyak lagi.”
“Maira ni menyusahkan ajakan…”
“Hari ni hari Maira, esok-esok hari abang pulak.”
“Eh macam dialog cerita P.Ramlee.”
Kami ketawa apabila teringat dialog yang sama yang pernah kami lafazkan beberapa tahun dulu.
“Cepat aja masa berputar. Dulu Maira tolong abang, hari ni abang pulak tolong Maira. Allah tu adilkan.”
Aku anggukkan kepala dengan kebenaran kata-kata Abang Qiemee. Bukanlah pertolongan besar pun, setakat tolong hantarkan Saif ke perhentian bas je. Itu pun dia ada untuk temankan.
“Maira dah ada nama untuk baby ni?”
“Belum. Tak sempat nak fikir. Abang ajalah yang bagi,” cadangku.
“Hmm...” Abang Qiemee meraba-raba dagunya sambil berfikir.
“Putera Shaheem... Okey tak?”
“Sedap nama tu.”
“Baby Shaheem, mama setuju dengan nama yang papa bagi,” kata Abang Qiemee dengan gembira. Satu ciuman singgah di pipi merah Shaheem.
Aku mengerutkan kening. Kenapa papa pula?
“Papa? Bukan pak long ke?”
“Papalah... Abang nak Shaheem jadi anak abang. Boleh?” tanya Abang Qiemee dengan bersungguh-sungguh.
“Boleh abang. No problem punya.” Aku mengukir sekuntum senyuman untuknya.
“Bila Maira boleh keluar ni? Nanti berpantang dekat mana? Siapa jaga? Keperluan berpantang semua dah ada?” Semua tentangku ingin diketahuinya.
“Maira nak jawab yang mana dulu ye? Banyak sangat soalan abang ni. Maira pantang sendiri je kat sini. Tak taulah bila boleh keluar wad. Kena tunggu doktor datang cek dulu.”
“Biar betul Maira. Ni pengalaman pertama Maira. Mesti banyak benda yang Maira tak tahu. Nanti abang carikan orang yang boleh jaga Maira. Kalau boleh biar tukang urut yang bolah jaga selama dua bulan. Dalam pantang kena berurut. Nak betulkan urat-urat tu. Dapat anak lelaki ni dua urat terputus tau.”
“Tak payahlah suruh tukang urut jaga sampai dua bulan. Tiga hari dah cukup. Berapa pula belanja nak upah tukang urut sampai dua bulan?” keluhku.
“Tentang upah tukang urut tu Maira tak payah nak pening kepala. Ni hadiah abang untuk Baby Shaheem.”
“Sorry abang tak dapat temankan Maira masa bersalin tadi,” ujar Abang Qiemee lagi.
“Terima kasih sebab tak temankan. Maira tak nak abang tengok keadaan Maira masa tu. Maira ni tak habis-habis menyusahkan abang. Minta maaf, banyak jasa abang pada Maira.”
“Jangan cakap macam tu. Mairakan adik abang, mestilah abang kena jaga Maira. Lagipun dekat sini kita tak ada keluarga. Abang ingat abang nak pindah sebelah rumah Maira lah. Kebetulan rumah sebelah tu memang untuk disewa kan? Boleh abang jaga Maira, tengok Shaheem hari-hari.” Jari Abang Qiemee terus mengusap pipi lembut si kecil itu.
Ya Allah di saat aku di dalam kesusahan, di dalam kesakitan, Kau turunkan Malaikat untuk membantuku dan menenangkan jiwaku. Sucinya hati insan di hadapanku ini. Kau rahmatilah dia. Berikan kebahagiaan untuknya. Aku sangat-sangat terhutang budi pada insan sebaik ini.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan