Selasa, 13 September 2016

RULE UNTUK CALON ISTERI BAB 1

PENAT betul berjalan. Baru setengah jam shopping dah tak larat. Kalau dulu berjalan satu KLdengan kasut setinggi tiga inci pun aku tak kisah. Rungutku di dalam hati.

Aku melabuhkan punggung di sebuah kerusi panjang sambil membelek-belek barangan yang telah kubeli tadi. Terasa seperti ada yang memerhati. Aku melihat sekeliling untuk memastikan benarkah aku sedang diperhatikan atau perasaan sahaja.

“Maira? Baby Maira? Betul ke ni?” Seorang lelaki segak menegurku.

Aku yang terkejut mengerutkan dahi sambil cuba menghadamkan siapakah gerangan lelaki berkulit cerah di hadapanku ini? Rambut tersisir kemas. Bibir merah, hidung mancung terbentuk sempurna. Tinggi mungkin 180cm. Oh ada lesung pipit di sebelah kiri. Sesekali dia menolak rambutnya kebelakang.

Seperti dejavu cara lelaki ini beraksi. Dan panggilan Baby Maira itu hanya dia sahaja yang panggil.

Caranya sama seperti… Betulkah dia atau aku hanya bermimipi? Pipi kucubit kuat. Sakit. Aku tak bermimpi, memang betul di hadapanku ini adalah dia.

“Abang Qiemee!!” Terasa ingin melompat bintang apabila senyuman sengetnya terpamer dengan jeritanku.

“Tak sakit ke cubit pipi sendiri? Depan Maira ni Abang Qiemee, bukan mimpi.” Dia masih tersenyum.

“Ya Allah lamanya tak jumpa. Handsomenya abang sekarang. Ingatkan siapalah lelaki handsome yang tegur Maira tadi.”

“Maira pun apa kurangnya? Makin cantik. Sorang aja? Cik abang mana? Bila due ni?” Abang Qiemee memuncungkan mulutnya sambil melihat perutku yang sarat memboyot.

“Anytime. Panjang ceritanya. Malas nak cerita. Abang tak nak kenalkan girlfriend abang yang cantik tu pada Maira ke?” Aku menghalakan pertanyaan setelah nampak seorang wanita yang sejak tadi memerhatikan kami berdua.

“Ni officemate abang, Linda.” Abang Qiemee yang mungkin baru teringat kehadiran Linda memperkenalkan kami berdua. Aku ingin bangun bersalaman dengannya tetapi dihalang oleh Abang Qiemee.

“Duduk aja. Maira tak larat ni,” arah Abang Qiemee.

Linda yang tadinya berdiri di belakang Abang Qiemee datang bersalaman denganku yang masih duduk.

“Linda, you balik dulu. I nak berborak dengan my lovely sister dulu. Lama tak jumpa.”

My lovely sister? Amboi bila pula aku jadi lovely sister dia ni? Hentam ajalah Abang Qiemee, asal bahagia.

Penampilan dia benar-benar telah berubah. Kalau dulu rambut dibiar panjang paras bahu dan ada yang terjuntai-juntai di dahi tetapi kini rambutnya dipotong pendek, kemas dan rapi. Dulu berbaju T tanpa kolar dan jeans lusuh, kini T-Shirt berkolar dan berjenama.

Kalau perempuan yang berselisih jalan dengannya pasti akan terteleng-teleng melihat dia. Mesti officemate dia bangga berjalan dengan dia.

“Tapi I nak balik dengan apa? Tadi you yang ambil I kat rumah,” rengek Linda manja. Patutlah Abang Qiemee terpikat dengan dia.

“Ni kunci kereta. You drive kereta I. Esok pagi you ambil I kat rumah.” Abang Qiemee mengeluarkan kunci kereta dari kocek seluarnya.

“Eh Abang Qiemee, tak apa. Kita borak lain kali jelah,” aku mencelah perbualan mereka kerana rasa bersalah terhadap Linda.

“Tak apa, Linda ni hari-hari boleh jumpa. Nak jumpa Maira bukannya senang. Dah bertahun tak jumpa. Mesti banyak cerita.”

Linda yang kelihatan marah, terus berlalu dengan jelingan tajam ke arah kami. Aku hanya menunduk. Tidak berani berbalas pandang dengannya. Tidak berapa lama kemudian perlahan-lahan aku mengangkat wajah merenung lelaki di hadapanku.

“Jom.” Abang Qiemee membantuku mengangkat barang-barang yang baru aku beli sebentar tadi. Aku mengikut sahaja langkahnya. Mungkin dia mencari tempat yang sesuai untuk ‘interview’ aku atau tempat untuk melepaskan dahaga.

“Banyak shopping.”

“Persiapan terakhir sebelum baby ni keluar.” Aku senyum sambil pandangan mata jatuh ke arah perut yang semakin membesar.

“Jauh shopping sampai ke Terengganu. Kat KL dah kurang ke shopping complex?

Aku senyum tanpa menjawab pertanyaannya. Sudah hampir sembilan bulan aku menetap di sini seorang diri.

“Maira datang dengan siapa dan naik apa?”

“Sorang, naik kereta,” jawabku ringkas.

“Park dekat mana? Bagi kunci kereta, biar abang drive.”

Aku mengikut sahaja arahan Abang Qiemee. Kunci kereta kuberikan padanya. Kereta yang terpakir kemas di luar pasaraya kutunjukkan. Dia memandu sehingga sampai di Pantai Kemasik.

“What happen actually baby? Apa yang Zuhri dah buat sampai Maira 'lari' sejauh ini?” Abang Qiemee memulakan bicara sesampainya kami di tepi pantai.

Baby? Aku menelan air liur. Lain macam aja Abang Qiemee ni. Dah lama orang tak panggil aku baby. Ibu dan ayah juga tak pernah memanggil nama itu lagi.

“Biasalah abang, kehidupan berumah tangga,” jawabku tenang.

Seboleh-bolehnya aku ingin merahsiakan perkara sebenar. Tetapi setelah diasak olehnya, aku terpaksa mengalah.

“Sebelum kami berkahwin, Zuhri kemalangan dan hilang ingatan.” Aku mulakan cerita.

Seminggu lamanya aku berulang-alik ke hospital untuk menjaga Zuhri yang masih terlantar. Persiapan perkahwinanku juga aku abaikan. Doktor sendiri tidak dapat memberi jaminan bilakah Zuhri akan sedar. Pihak hospital hanya berusaha sedaya upaya. Selebihnya terpulang kepada semangat pesakit.

“Maira, doa kita dimakbulkan Allah. Zuhri dah sedar.” Mommy  Zuhri memaut bahuku.

Aku memandang Zuhri yang sedang tersenyum. Air mataku mengalir laju membasahi pipi. Ingin sahaja aku sujud syukur di situ.   

“Siapa ni mommy? Kenapa dia menangis?” Zuhri kehairanan.

“Ni Maira, tunang Zuhri. Zuhri tak ingat ke?” Mommy mengerutkan dahinya. Zuhri pula menggelengkan kepala.

“Tunang? Are you sure mommy?  Zuhri tak rasa pun macam pernah bertunang. Zuhri tak pernah kenal pun dia.” Wajah Zuhri seakan-akan keliru.

“Awak jangan bergurau Zuhri. Takkan awak tak kenal saya? Saya ni tunang awak.”

Zuhri menggeleng. Hancur luluh hatiku dengan pengakuan Zuhri. Orang yang aku sayang langsung tidak ingat padaku? Ini memang tak masuk akal.

“Doktor kenapa tunang saya boleh hilang ingatan?”

“Kehilangan memori ni berlaku apabila bahagian serebrum otak yang mengawal memori tidak berfungsi dengan baik selepas mengalami hentakan yang kuat atau kecederaan. Pada pendapat saya patient mengalami amnesia iaitu defisit dalam ingatan atau memori yang disebabkan oleh kerosakan otak, penyakit atau trauma psikologi. Amnesia sementara juga boleh disebabkan dari penggunaan pelbagai jenis ubat penenang dan ubat-ubatan hipnisis. Tapi dari latar belakang patient, saya yakin dia mengamalkan gaya hidup sihat. Jadi tak mungkin dia ambil ubat-ubat tu. Pada asasnya, amnesia adalah kehilangan ingatan. Memori boleh hilang sebahagiannya atau keseluruhannya bergantung kepada tahap kerosakan otak yang dialami pesakit.”

“Berapa lama dia akan berkeadaan macam ni doktor? Kenapa dia tak ingat saya tapi dia ingat mommy dan daddy dia?” tanyaku tidak berpuas hati.

“Bergantung. Ini kerja Tuhan. Saya tak dapat pastikan berapa lama dia akan berkeadaan begitu. Dalam beberapa kes, kehilangan memori boleh berlanjutan hingga beberapa dekad terkebelakang, manakala terdapat juga pesakit yang mungkin kehilangan beberapa bulan daripada ingatan mereka.Berapa lama cik kenal dengan patient?”

“Hampir setahun,” jawabku.

“Ia mungkin disebabkan oleh anterogrde amnesia iaitu ketidakupayaan untuk memindahkan maklumat baru dari ingatan jangka pendek ke dalam ingatan jangka panjang. Pesakit amnesia ni tak ingat perkara yang baru dialami untuk jangka masa yang lama.”

Setelah mendapat penjelasan, kepalaku bagai nak pecah memikirkan kata-kata doktor itu. Entah apa-apa terms kedoktoran yang digunapakai pun aku tak faham. Anterogrde amnesia lah, defisit dalam ingatan lah dan entah apa-apa lagi.

Boleh tak kalau doktor beri penjelasan yang ringkas contohnya bila dia akan ingat aku, dia sakit apa, kenapa dia jadi macam tu?  Aku bukan doktor untuk faham istilah yang disampaikan.

Ibu yang sentiasa berada di sisi cuba menenangkan aku. Kata ibu mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku. Aku binggung apatah lagi tarikh perkahwinan kami hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.
Di luar bilik rawatan, aku terdengar ayah dan daddy berbincang tentang perkahwinan kami. Aku tahu ayah juga runsing memikirkan masalah kami.

“Macam mana ni dato’, nak teruskan atau tangguhkan dulu majlis anak-anak kita sampai Zuhri sembuh?” tanya ayah pada daddy.

“Saya rasa lebih baik kita teruskan. Lagi pula kad jemputan kita dah edarkan. Nanti saya pujuk Zuhri. Insya-Allah ingatannya akan pulih. Mana tahu lepas nikah nanti semuanya akan kembali normal. Malu pula nanti bila jemputan hadir tapi pengantin tak ada. Lagipun ramai kenalan bisnes saya dari luar negara dah sampai KL,” cadang daddy.

“Kalau macam tu kata dato’ saya ikutkan saja. Tapi saya risau kalau Zuhri tak ingat pada Maira sampai bila-bila. Anak saya tu perempuan. Tak sanggup saya tengok dia menderita.”

“Saya harap tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku. Saya akan pastikan Zuhri layan Maira dengan baik.”

Ayah mengangguk tetapi ada kekeruhan di raut wajahnya. Mungkin risau dengan nasib yang bakal aku tempuhi. Aku yang mendengar pun tak pasti apakah jaminan untukku. Kalau Zuhri masih tak ingat padaku bagaimana nasibku nanti?



BERSAMBUNG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan