RULE UNTUK CALON ISTERI
BAB 2
BAB 2
PERKAHWINAN aku dan Zuhri bukan seperti yang aku impikan. Zuhri yang aku kahwini
bukan Zuhri yang aku kenal hampir setahun yang dulu.
“I tak kenal you, I tak cintakan you. I kahwin dengan you ni sebab nak
jaga maruah keluarga kita dan sebenarnya I tak mahu hampakan harapan mommy dan
daddy yang nak bermenantukan you.”
“It’s okey. Saya faham,” kataku perlahan. Selebihnya menahan pedih di
hati.
“I tak habis cakap lagi.”
“Maksudnya?” Aku tidak mengerti.
“Kita tak akan kongsi tempat tidur yang sama dan tak akan berkongsi
bilik yang sama.”
Aku semakin tidak faham. Perkahwinan apakah ini? Macam kahwin kontrak?
Macam novel melayu, terpaksa kahwin sebab harta. Terpaksa kahwin sebab nak
langsaikan hutang. Kalau kahwin kontrak mana pula kontraknya untuk aku
tandatangan?
“Jadi apa erti ikatan pernikahan pada awak?”
“Tak ada apa-apa. Sekadar untuk menjaga perasaan parents I.”
Hati bagai disiat-siat. Kenapa tak batalkan sahaja sebelum pernikahan?
Aku pasti kalau ayah dan ibu tahu, pasti mereka juga turut membantah.
“Kenapa tak bincang dengan keluarga kita dulu?”
“Mommy dan daddy tak patut tahu. Orang tua you pun tak patut tahu. Ni
perjanjian antara kita.”
Perjanjian antara kita? Perjanjian yang berat sebelah. Yang pastinya
aku yang akan menanggung derita.
“Zuhri, tak ada sedikitkah ingatan awak pada saya?”
Dia menggeleng-gelangkan kepala. Aku mengeluh dengan reaksinya.
“Sampai bila kita nak berlakon?”
“Sampai ingatan I pulih.”
“Kalau awak tak ingat sampai bila-bila macam mana? Kalau awak dah
jumpa orang lain yang boleh beri kebahagiaan pada awak macam mana?”
“Kita bebas nak berkawan dengan sesiapa. Asalkan pandai rahsiakan dari
mommy dan daddy. I bagi masa setahun. Kalau I masih tak ingat pada you, I akan
lepaskan you.”
Senangnya dia bercakap. Aku tak sanggup memegang gelaran janda dengan
usia semuda ini. Kenapa takdir kejam untukku?
Ibu… Sakitnya hati Maira!!! Rasa nak lari aja. Rasa tak nak balik
rumah. Dia menghina Maira. Dia hina anak ibu.
“Zuhri, saya faham keadaan awak. Mungkin awak tak boleh terima saya
dalam hidup awak buat masa ni. Tapi saya akan berusaha kembalikan ingatan
awak.” Rasa sebak tiba-tiba menerjah dada ini. Air mata kutahan dari jatuh.
“Kenapa you nak kahwin dengan I walaupun I cakap I tak cintakan you?”
Aku kembali memalingkan wajah kepadanya. Air liur terasa payau dan
pahit. Kenapa soalan ini yang ditanya? Aku memang tak ada jawapan.
“Because I'm your lovely princess. Awak selalu panggil saya Puteri.”
Aku senyum.
“Tapi I tak ingat you langsung.”
Sabar Maira, buat-buat macam tak terkesan dengan kata-katanya itu.
Aku mempamerkan senyuman paling manis untuknya.
WALAU seburuk mana layanan Zuhri padaku, aku tetap layan dia dengan baik.
Aku tetap cuba sedaya mungkin menjadi isteri yang baik.
Awalnya, Zuhri layan aku seperti biasa, berlakon mesra di depan keluarga
dan kembali dingin bila kami berdua. Tapi, segalanya berubah bila dia ternampak
aku bersama Saif.
Saif muncul kembali dalam hidup aku memohon dimaafkan. Walau aku sudah
lama memaafkannya, dia masih tidak berpuas hati. Masih mahu menarik perhatianku.
Masih mahu meluahkan penyesalannya kerana curang terhadapku.
Sejak hari itulah, Zuhri berubah dan aku pula yang dituduh curang.
Tapi, aku tetap bersabar dan masih berlembut dengannya. Masih mahu menjadi
isteri yang baik terhadapnya.
“Awak nak makan? Saya dah masak. Nanti saya panaskan ya.”
“Tak apa, I dah kenyang.”
“Awak dah kenyang pun tak apa. Boleh temankan saya makan. Dari siang
tadi saya tak makan sebab tunggu awak. Saya buatkan apple juice untuk awak ya.
Awak suka kan?” Aku masih mencuba nasib untuk meraih perhatian darinya.
“I tak mahu makan, tak mahu minum. I nak rehat!” Suaranya mula
meninggi. Hidungku terasa panas, tekak terasa perit menahan tangis dengan
layanannya. Kenapa dia tak boleh berlembut dengan aku? Susah sangat ke?
“Sampai hati awak layan saya macam ni. Saya tak lalu makan sebab
risaukan awak. Setiap kali saya
masak, awak tak nak makan pun. Awak tak hargai pengorbanan yang saya berikan. Apa lagi yang awak nak
saya lakukan untuk pulihkan hubungan kita? Saya tak boleh hidup dengan cara macam
ni.” Aku meraih simpati dengan suara yang sayu.
“Kau nak aku layan kau macam mana hah? Kau nak hidup dengan cara macam
mana?” Zuhri berpaling memandangku lalu mencengkam rahangku kasar.
“Sa....kit. Saya minta ma..af kalau saya sakitkan hati awak. Saya
janji takkan paksa awak makan. Lepas ni saya takkan suruh apa-apa lagi.
Ta....pi jangan buat saya macam ni,” rayuku dengan bersusah payah apabila
rahangku dicengkam semakin kuat. Aku cuba menepis tangannya tetapi tidak
berjaya.
Zuhri menghumbankan tubuh kecilku ke katil. Belum sempat aku bangun,
tangannya memegang kemas pergelangan tanganku. Bibirnya dibenamkan ke leher.
Aku merayu supaya tidak diperlakukan seperti itu. Aku tidak mahu dia menyesal
atas perbuatannya nanti.
Tetapi rayuanku seperti sia-sia malah semakin buas dia menakluki wajah
ini. Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi apalah sangat kuderat
wanitaku jika ingin dibandingkan dengan tubuh sasanya.
“Kau nak kahwin sangat dengan aku kan? Hari ni aku akan tunaikan
tanggungjawab aku. Daripada kau melayan lelaki lain, baik kau layan suami kau
yang dah tentu halal untuk kau!!”
“Zuhri!! Jangan buat saya macam ni. Awak janji takkan sentuh saya
selagi ingatan awak tak pulih. Lagipun awak akan ceraikan saya kalau awak masih
tak ingat kan? Saya tak nak awak terbeban kalau saya ada anak dengan awak.” Aku
masih berusaha untuk menyedarkan dia.
“Ahhh, aku tak peduli. Aku takkan ceraikan kau. Aku takkan bagi jantan
tu dapatkan kau dengan senang. Kau boleh curang di belakang aku, kenapa aku tak
boleh sentuh kau yang memang sah isteri aku?”
“Zuhri jangan..” suaraku semakin perlahan untuk menghalangnya. Aku
sudah tidak berdaya untuk meronta, lagi pula hari ini aku langsung tidak
menjamah makanan.
Ketika bibir Zuhri singgah di bibirku, dengan spontan aku menggigit
bibirnya dengan harapan dapat melepaskan diri. Itu adalah kesilapan besar yang
aku lakukan kerana dengan spontan juga tangan kasarnya dihayunkan ke pipi
mulusku.
Terasa kebas seluruh wajah. Tanganku yang terkapai-kapai meminta
simpati darinya akhirnya terkulai layu. Aku tidak tahu apa yang berlaku
seterusnya dan aku tidak mahu tahu.
ENTAH berapa lama terlena, aku dikejutkan dengan goncangan kuat di bahu oleh
Zuhri.
“Aku lapar. Masakkan makanan.” Nampak marahnya belum reda.
Lapar? Tengah-tengah malam begini suruh aku masak? Kenapa tak makan di
luar saja? Perlahan aku hayunkan juga langkah ke dapur dan memanaskan lauk-pauk
yang kumasak siang tadi. Kemudian kuhidangkan di atas meja.
“Kau ingat aku ni apa? Masak yang baru, perut aku tak tahan dengan
lauk lama,” jerkah Zuhri ketika aku ingin memasukkan lauk ke dalam pinggannya.
Aku menggeleng-gelengkan kepala dengan rasa yang sungguh sebal. Tapi
dengan penuh kesabaran aku lakukan apa yang disuruh. Tak apalah Maira, dia
masih sakit. Hati ini sedaya-upaya kupujuk.
Zuhri duduk di bangku meja makan sambil memerhatikan pergerakanku.
Kenapa? Dia tidak percaya padaku? Ingat aku nak letak racun dalam masakan ni?
Aku tak kejam.
Setelah semuanya siap, aku hidangkan padanya dengan nasi yang panas.
Aku duduk di sebelahnya dan melayan dia makan.
“Tak nak makan sekali?”
Aku geleng. Mata ini bagai digam untuk pejam. Katil juga seperti
memanggil-manggil untuk tidur. Sesekali aku tersengguk menunggu dia habis
makan.
“Makan ni.” Dia menghulurkan sisa makanannya kepadaku. Aku masih
menggeleng lagi. Dah tengah malam macam ni, manalah ada selara.
“Kau degil ya. Apa yang aku suruh buat kau tak mahu buat. Selagi aku
ni suami kau, kau kena patuh. Bila aku suruh kau makan maksudnya kau kena
makan. Habiskan dengan tulang-tulang ikan tu sekali,” arah Zuhri dengan tegas.
Terus segar biji mata ini apabila mendengar arahannya yang tak masuk akal itu.
“Awak ingat saya ni kucing ke? Apa yang saya tak buat untuk awak? Awak
suruh saya buat kerja-kerja rumah, saya dah buat. Awak suruh saya masak
tengah-tengah malam ni, saya dah masakkan. Kalau saya tak nak makan, janganlah
paksa sebab saya dah makan sebelum maghrib tadi.” Ayat spontan itu terpacul
dari mulutku. Mungkin kerana geram atau marah, mulut ini tidak dapat mengawal
kata-kata yang terkeluar.
“Ada aku suruh kau menjawab? Tak ada kan? Kau makan sekarang.”
Aku masih berkeras. Gila ke apa nak suruh aku makan tulang ikan? Kalau
tercekik nanti macam mana?
“Kau makan sekarang atau kau nak aku suapkan?”
Aku merenung wajahnya. Mencari di mana hilangnya Zuhri yang pernah
hadir menyentuh hatiku dulu. Zuhri yang berlemah-lembut, Zuhri yang sentiasa
mengambil berat. Tiba-tiba dia datang mendekat sambil menarik rambutku kasar.
Sebelah lagi tangannya bersedia untuk menyuap sisa makanan ke dalam mulutku.
“Buka mulut atau kau nak kena lebih teruk lagi?”
Tanpa rela aku membuka sedikit mulut dan dengan pantas dia menyuap.
“Kunyah dan telan. Jangan luahkan.”
Dengan linangan air mata aku mengunyah nasi bersama tulang ikan.
Berbunyi-bunyi tulang ikan itu kukunyah.
“Telan.”
Aku pandang ke anak mata Zuhri meminta simpati darinya. Tetapi dia
seolah-olah tidak mempnyai hati dan perasaan.
“Telan!!” tengkingnya.
Terasa tulang-tulang ikan itu menyucuk kerongkongku. Terasa perit dan
pedih. Kenapa dia kejam sangat? Kenapa marahnya belum reda?
Tangan Zuhri kutepis dan pantas aku berlari ke singki sambil meluahkan
apa yang ada di dalam mulut. Jari kujolok ke dalam mulut untuk mengeluarkan apa
yang aku makan sebentar tadi. Darah bersama sisa makanan keluar dari mulut.
Air paip kuminum, tetapi masih terasa ada lagi tulang ikan yang
tertinggal dikerongkong. Sekali lagi air paip kutelan tetapi seperti tidak ada
apa-apa perubahan.
“Aku suruh kau luahkan ke?”
Tiada simpati darinya? Aku perlu menjauhkan diri darinya. Iblis mana
yang telah masuk ke dalam tubuhnya. Dengan perasaan yang bercampur baur aku
meninggalkannya di dapur. Baru beberapa langkah kubuka, tanganku direntap
kasar.
“Kau nak pergi mana?”
“Masuk bilik,” jawabku sambil menyeka air mata.
“Bila aku benarkan kau masuk bilik?”
“Awak nak apa lagi? Tak cukup ke awak dera saya? Awak ni kenapa
sebenarnya? Kalau betul-betul hilang ingatan takkanlah sampai hilang sifat
kemanusiaan macam ni? Kenapalah Allah tak ambil nyawa awak sekali? Langsung tak
insaf lepas Allah bagi ujian pada awak. Sepatutnya awak berubah jadi lebih
baik, bukannya lebih teruk. Kalau macam nilah sifat awak, saya rela Allah tarik
nyawa awak pada malam tu.” Kemarahan dan kesakitan berkumpul menjadi satu dan
kata-kata yang tidak terkawal meluncur laju di pinggir bibir tanpa berfikir.
Zuhri menghayunkan tangannya pada pipiku. Entah kali keberapa pipi ini
menjadi sasarannya. Kemudian dia menarik rambutku lagi. Aku terdongak
memerhatikannya.
“Oh dah pandai melawan. Rupa-rupanya kau doakan aku mati ya. Memang
patut pun aku layan kau macam ni. Perempuan tak guna. Hari ni kau tidur kat
luar rumah. Keluar sekarang!!” jerkah Zuhri dengan matanya yang merah dan wajah
yang bengis.
Zuhri menyeret aku keluar dari rumah melalui pintu dapur lalu
ditolaknya aku keluar. Dengan cepat pintu ditutup dan dikunci. Aku diperlakukan
seperti kucing kurap yang meminta sedikit simpati. Dihalau dengan hina dan
jijik. Tak sudah-sudahnya malang yang menimpa diri ini.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan