Rabu, 28 September 2016

RULE UNTUK CALON ISTERI BAB 5



BAB 5



SUDAH hampir dua bulan aku duduk di rumah selama proses berpantang. Dan selama itu juga aku ditemani oleh Makcik Timah iaitu tukang urut merangkap penjagaku dan Shaheem.

“Minggu depan Maira dah start kerja. Maira minta izin dekat bos Maira, Kak Tini untuk jual baju-baju secara online,” aku memaklumkan pada Abang Qiemee ketika dia datang ke rumah melawat aku dan Shaheem.

“Dalam berpantang pun boleh fikir tentang kerja. Sepatutnya Maira rehatlah cukup-cukup.”

“Setakat berfikir, takkan terjejas kesihatan Maira ni. Lagipun Maira kena fikir untuk tambahkan pendapatan. Dulu duduk sorang bolehlah ikat perut. Sekarang dah ada Shaheem, Maira kena fikirkan kelengkapan dia.”

“Abang kan ada. Setakat nak beli barangan Shaheem apalah sangat.”

“Maira tak nak susahkan abang. Dah banyak sangat termakan budi. Sampai bila Maira nak berharap pada abang?” kataku perlahan. Sejak Shaheem dilahirkan terasa macam-macam pertolongan yang Abang Qiemee berikan.

Bulan pertama dia yang menghantar aku ke klinik untuk tujuan pemeriksaan susulan untuk aku dan Shaheem. Selepas itu ketika Shaheem tidak sihat akibat demam dia juga yang menghantar kami ke klinik. Itu belum masuk membelikan kelengkapan yang lain dan barang dapur. Terasa kami ini betul-betul menyusahkan.

“Selagi Maira perlukan, selagi tu abang sedia berkhidmat.”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Malu dibuatnya apabila orang yang tiada kaitan dengan kami pula yang mengambil berat.

“Tadi Maira kata nak jual baju secara online kan. Maira tahu ke nak buat bisnes online ni?” soal Abang Qiemee.

“Sepanjang dalam berpantang, Maira ada search kat internet untuk buat bisnes online. Nampak tak susah. Asal ada internet dan handphone dah boleh buat. Shaheem makin besar, banyak duit nak guna. Kak Tini pun dah setuju. Kalau Maira dapat jual, untung bahagi dua sebab dia suruh Maira uruskan semuanya. Dia akan cari supplier.”

“Baiknya bos Maira tu.”

“Kan Maira pernah cakap, dia memang baik. Dia cakap tempahan pun makin banyak. Dia tak sabar-sabar nak tunggu Maira masuk kerja sebab tak cukup tangan nak siapkan tempahan dari costomer. Customer pula asyik tanya mana Maira, dah bersalin ke belum, suami kerja mana, pantang kat mana, anak nombor berapa? Penat dia nak menjawab. Dia kata Maira masuk kerja nanti, tolonglah jawab sendiri sebab Maira tak cerita kisah peribadi pada dia.” Dapat aku bayangkan wajah Kak Tini yang terpaksa menjawab soalan customer yang terlebih peramah.

“Mestilah makin banyak tempahan. Siapa yang tak suka dengan hasil tangan Maira? Dah cuba sekali mesti nak tempah lagi. Tengok tukang jahit yang cantik macam Maira mesti ramai yang nak singgah,” puji Abang Qiemee seakan-akan melebih pula.

“Abang Qiemee tu mulalah nak mengusik.” Aku dah mula kembang macam belon ditiup.

“Betullah abang cakap. Kalau Maira bukan isteri orang, dah lama abang suruh mak pinangkan. Tiap-tiap tahun dapat melaram baju melayu free.”

“Shaheem tengok papa tu, tak habis-habis mengusik mama,” aku mengadu pada Shaheem yang belum faham apa-apa.

“Shaheem tengok pipi mama dah merah. Itu papa baru usik sikit,” balas Abang Qiemee dengan cara mengikut telatahku tadi.

“Setakat nak melaram baju free, tiap-tiap tahun Maira boleh buatkan tanpa syarat,” kataku untuk menutup malu.

“Jemput minum Encik Qiemee.” Makcik Timah datang menatang dulang berisi air dan sedikit kuih.

“Terima kasih makcik. Minggu ni minggu akhir makcik jaga Maira kan?”

“Ya encik. Rasa sekejap aja dah dua bulan makcik jaga Cik Maira. Sedih pula nak tinggalkan.”

“Tak apa makcik, kalau makcik rindu pada Maira atau Shaheem, datang aja,” kataku yang melihat sayu wajah tua itu. Aku sudah anggap dia seperti orang tuaku sepanjang dia menjaga kami. Tukang urut yang hidup sebatang kara dan menampung sara hidup dengan kelebihannya mengurut.

“Minum dulu Encik Qiemee. Makcik ada buat air akar kayu untuk Cik Maira. Minum ya, untuk kembalikan tenaga pada badan.” Makcik Timah berlalu ke arah dapur.

“Bagus Makcik Timah tu jaga kan.”

Aku mengangguk setuju.

“Nasib baiklah kawan pejabat abang tolong recommendkan pada abang.”

“Bukan setakat urut Maira, kerja-kerja rumah semua dia buat. Tolong jaga Shaheem, masakkan untuk Maira. Dia cakap waktu berpantang, biar pantang betul-betul. Kalau tak nanti bentan atau pun dah tua nanti badan sakit-sakit. Berapa abang bayar pada Makcik Timah?”

“Rahsia. Hadiah mana boleh beritahu harganya.”

“Terima kasih atas hadiah yang sangat bermakna ni. Tak terbalas budi abang pada Maira.”

“Makcik Timah ada tanya tentang suami Maira?”

“Ada. Maira kata dah meninggal. Maira malas nak cerita tentang dia.”

“Amboi… Tak baik cakap macam tu. Cakaplah kerja kat luar negara.”

“Nanti mestilah Makcik Timah tanya ‘takkanlah tak boleh balik sekejap tengok anak dan isteri?”

Abang Qiemee tertawa apabila aku mengajuk cara Makcik Timah bercakap.

“Abang cakap pada dia, Maira ni adik sepupu abang.”

“Kenapa tak cakap yang Maira ni adik abang?” soalku hairan.

“Kalau adik, mestilah tak kisah tinggal dalam rumah yang sama.”

Oh betul juga. Maira yang blur, Maira yang lambat pick up… Akulah tu.

Aku hulurkan gelas air kepada Abang Qiemee. Sejak tadi berborak sampai terlupa nak minum.

“Abang Qiemee, hari tu Kak Tini bagi tahu Maira dia nak jual butik dekat Maira sebab dia nak ikut suami dia pindah. Dah lama dia orang tu buat PJJ.”

“Pengajian Jarak Jauh? Dia orang belajar lagi ke?”   

“Taklah. Perkahwinan Jarak Jauh. Sorang kat Malaysia, sorang kat Abu Dhabi. Jarang-jarang jumpa. Suami dia pilot. Abang rasa okey tak kalau Maira ambil alih?” Aku meminta pendapat darinya.

“Bagus juga tu. Lagipun sampai bila Maira nak kerja dengan orang? Dengan kemahiran yang Maira ada abang percaya Maira boleh berjaya. Abang sentiasa support Maira.”

“Tapi Maira belum cukup modal. Yalah tak sampai setahun kerja dengan dia. Simpanan pun tak banyak mana. Kalau dua atau tiga tahun lagi mungkin cukup.”

“Berapa yang tak cukup lagi?”

“Banyak. Kak Tini kata dia tolak dekat Maira RM 20,000.00 sebab nak cover duit mesin dan peralatan kedai. Rasa macam tak mampu pulak. Maira menjahit sendiri kat rumah ajalah.”

“Bahaya. Nanti Shaheem usik mesin-mesin tu macam mana? Dengan gunting, jarum, habuk lagi. Kalau abang bagi modal untuk Maira ambil alih kedai tu macam mana?”

“Tak payahlah. Banyak sangat tu. Maira baru ada RM 5,000.00 aja. Maira tak mahu susahkan abang lagi.”

“Maira ni tak habis-habis nak rasa bersalah. Okey macam ni, Maira anggap abang pinjamkan pada Maira. Bila dah dapat untung, baru Maira bayar balik. Bayar ansur-ansur pun tak apa. Ambillah berapa lama masa yang Maira nak. Abang percaya pada Maira. Kita bukannya baru kenal semalam.”

“Nantilah Maira fikirkan. Lagipun Kak Tini cakap banyak benda yang dia kena selesaikan sebelum pindah ke sana. Mungkin ambil masa berbulan-bulan. Maira kena kerja keraslah untuk kumpul modal tu.” Aku menjadi serba-salah dengan tawaran yang dibuat oleh Abang Qiemee. Terlalu banyak makan budi rasanya.

“Kenapa Kak Tini nak tolong Maira buat bisnes online kalau dia nak jual butik tu pada Maira?”

“Dia nak bantu Maira sebenarnya. Kalau Maira tak jadi ambil butik dia sekurang-kurangnya dapatlah Maira buat bisnes ni untuk sara diri. Lepas ni kalau bisnes online ni berjaya Kak Tini masih lagi tolong Maira untuk dapatkan pembekal dan keuntungan pun kami bahagi sama rata. Dapat juga Kak Tini duit poket walaupun duduk kat rumah aja.”

“Macam mana dia nak tahu berapa keuntungan yang Maira dapat?”

“Dia serahkan semuanya pada Maira. Pandai-pandailah Maira uruskan dan hantar laporan pada dia. Sekali sekala dia akan ke sini untuk tengok-tengokkan bisnes kami. Macam tulah perancangannya. Kak Tini ajak Maira buka akaun bank bersama. Jadi lagi senang dia nak monitor duit keluar masuk. Dia keluarkan modal, dan Maira uruskan perniagaan.”

“Maira senang dapat kepercayaan dari semua orang sebab Maira jujur.”

“Tapi sebab Maira jujur, Maira selalu kena tipu.”

“Tipu dalam bisnes dengan tipu dalam bercinta lain. Dah jangan nak buat muka kesian. Tak payah nak ingat cerita lama. Lepas maghrib nanti kita pergi makan kat luar.”

“Tak payahlah. Maira masak aja. Kejap lagi Maira hantar kat rumah abang.”

“Mama tak penat ke nak masak? Dah satu hari jaga Shaheem. Apa kata masa mama yang terluang tu beri pada papa sikit. Papa pun kesian dekat mama dah satu bulan lebih terperuk dalam rumah. Sekurang-kurangnya kita keluar dan dapatlah hirup udara segar,” kata Abang Qiemee sambil mengagah Shaheem.

“Apa yang penatnya? Semua kerja Makcik Timah dah buatkan. Setakat nak masak untuk abang tak luak pun tenaga ni.”

“Kan Makcik Timah suruh pantang betul-betul.”

“Dah habis pantang. Dah boleh buat kerja ringan.”

“Masak tu bukan kerja ringan. Tak payah cakap banyak, ikut aja malam ni.”

“Baiklah encik. Lepas maghrib saya tunggu ya. Tapi Encik Qiemee kena bawa saya kat tempat yang paling best tau,” gurauku.

“As your wish. Pakai cantik-cantik,” sambut Abang Qiemee.



SELEPAS maghrib, aku bersiap-siap untuk keluar. Aku membelek baju di dalam almari. Dah lama tak pakai baju-baju ni. Entah muat ke tidak. Hari-hari ketika di dalam pantang hanya sarung T-shirt dan kain batik. Sebelum ni pun pakai uniform mengandung saja.

Aku menyarungkan T-shirt hitam berlengan panjang dan seluar jeans. Hmm... ringkas dan selesa. Kucalit pelembap bibir dan kusapu bedak asas kemudian tudung bawal hitam kusarung. Okey dah siap. Barang-barang Shaheem pun dah ada dalam beg. Sedang bersiap-siap, telefon bimbitku berbunyi.

“Dah siap? Abang ada dekat luar.”

“Okey dah nak keluar ni.”

Menepati masa sungguh Abang Qiemee ni.

Aku mendukung Shaheem dan menyambar beg tangan. Ketika aku melangkah menuju ke pagar rumah, Abang Qiemee merenungku tanpa berkelip. Dah kenapa dia ni? Cantik sangat kut aku malam ni. Al maklum sajalah empat puluh empat hari dalam pantang tanpa melaram.

“Jom pergi,” ajakku apabila Abang Qiemee masih tidak berganjak.

“Maira..... Hmmmm...,” Abang Qiemee melihat aku dari atas ke bawah berulang kali.

“What?” Keningku mula nak bercantum.

“Something wrong.... Apa ya... Oh sekejap.” Abang Qiemee berjalan ke arah kereta dan mengambil sesuatu.

“Tukar baju ni.” Abang Qiemee menghulur beg kertas padaku.

“Kenapa? Tak cantik ke?”

“Maira sentiasa cantik. Tapi yang ni simple sangat. Kata nak pergi tempat best. Kenalah dress up sikit. Bagi abang jaga Shaheem.”

Aku akur. Shaheem kuserahkan kepadanya. Dengan pantas aku masuk semula ke dalam bilik untuk menyalin pakaian.

 Pakaian yang diberikan oleh Abang Qiemee kukeluarkan dari dalam beg kertas itu. Sepasang dress berwarna emerald green dan sehelai shawl hitam. Nak pakai yang ni ke? Macam meriah sangat pula. Kalau pergi event di hotel ke bolehlah.

Dalam pada itu, kusarungkan juga dress pemberian Abang Qiemee itu. Shawl dililit mengikut trend terkini. Setelah berpuas hati barulah aku keluar semula.

Abang Qiemee memandang aku tanpa kelip. Ada yang tak kena lagi agaknya. Aku memandang diri sendiri dari atas ke bawah. Rasanya macam taka da apa-apa yang pelik.

“Shall we?” kataku apabila melihat Abang Qiemee masih tercegat di situ.

“Oh okey okey.” Abang Qiemee tersenyum senget.

Di dalam kereta aku lihat Abang Qiemee masih dengan senyumannya. Dia ni dah kenapa pula? Kena sawan senyum agaknya.

“Kenapa abang?”

“Kenapa apa?” dia tanya aku kembali.

“Kenapa abang asyik senyum dari tadi?”

“Tak ada apa. Abang tengok Maira semakin cantik.”

“Ada-ada ajalah abang ni. Maira sama aja macam dulu cuma dah gemuk aja. Dah berpantang pun tak mahu turun berat badan ni.”

“Mana ada gemuk. Okeylah ni. Dulu tu Maira kurus sangat macam tak cukup vitamin.”

“Wah suka hati aja kata kita tak cukup vitamin kan? Doktor Zuhri bekalkan vitamin yang cukup pada Maira tau.”

Doktor Zuhri? Kenapa nama itu yang terpacul dari mulut ini? Vitamin dan Zuhri seperti suatu nama yang bergabung. Kalau teringat salah satu darinya, pasti yang satu lagi akan ikut teringat sama.

“Abang gurau ajalah. Okey kita dah sampai dekat tempat yang best,” kata  Abang Qiemee semasa mematikan enjin kereta.

“Mahal ni abang. Tak payahlah makan dekat sini.  

“No no no.” Abang Qiemee menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan beberapa kali.

“Abang memang nak bawa Maira kat sini. Dekat sini selesa. Kalau pergi tempat yang tak selesa, nanti Shaheem meragam macam mana?” Abang Qiemee turun dari kereta lalu mendapatkan Shaheem yang masih di dalam dakapanku.

“Maira tahu tak kat sini boleh tengok kelip-kelip tau. Tapi tunggu Shaheem besar sikit baru kita pergi ya,” kata Abang Qiemee ketika kami sama-sama beriringan menuju ke Restoran Kampung Meraga Beris di Awana Kijal Golf Beach and Spa Resort.

Kami disambut mesra oleh penyambut tetamu yang ada di sana.
           
           “Kita ambil buffet ye. Maira makan banyak sikit baru ada tenaga nak jaga Shaheem. Dah dekat dua bulan berpantang makan, mesti macam-macam yang Maira nak makan kan? Cuma jangan minum air sejuk je,” nasihat Abang Qiemee yang masih memandang tepat ke arahku.

“Ikut abanglah. Nanti kalau Maira gemuk, Maira salahkan abang ya.”

“Tak apa, banyak pusat perlangsingan badan sekarang ni. Boleh pilih yang mana Maira suka. Abang belanja.”

“Abang ni penuh idea dan cadangan. Ada aja yang abang cadangkan.”

“Dengan Maira macam-macam idea yang abang dapat. Macam-macam benda yang abang nak buat dengan Maira. Tak sedar berjam-jam abang habiskan masa dengan Maira dan Shaheem.”

“Abang ni selalu menenangkan. Untunglah siapa yang kahwin dengan abang.”

Abang Qiemee hanya senyum segaris kemudian kami menikmati makan malam yang sungguh-sungguh mengenyangkan. Ini adalah misi balas dendam selepas berpantang. Pantang nampak, semua benda aku bedal. Abang Qiemee hanya senyum. Berbaloi agaknya dengan harga buffet yang dibayar dengan selera besarku. Kami ambil masa untuk berbual-bual setelah makan.

“Maira nak tukar lampin Shaheem sekejap. Dah berat ni. Abang tengokkan beg Maira ya.” Aku berlalu meninggalkan Abang Qiemee sebentar dan menuju ke tandas.         

“Well well well, tengok siapa yang ada dekat sini,” suatu suara merapatiku ketika aku melangkah masuk ke tandas.

“Hai Linda, sorang?” tanyaku. Bukannya susah untuk mengingati perempuan yang seksi di Terengganu ini.

“Nope. I datang dengan kawan. I bukan macam you, sad and lonely. Nasib baik Qiemee ada. Dia layan you sebab dia kesiankan you.” Linda mencebikkan mulutnya.

“Maksud Linda apa ya?”

“You know what, Qiemee selalu cerita pada I dia terpaksa habiskan masa dengan you dan anak you sebab dia kesiankan both off you yang terbuang, tak ada keluarga. Kalau ikutkan hati dia, banyak benda yang dia nak lakukan dengan I. Sebab kesiankan you terpaksalah dia abaikan I. Dia kata dia hanya ada waktu bersama dengan I di office aja.”

“Maafkan saya Linda. Saya akan pastikan lepas ni Abang Qiemee selalu bersama dengan Linda.”

“Whatever.” Linda mengangkat lima jarinya tanda malas untuk bercakap denganku lagi lalu dia melangkah dengan lagaknya.

Betulkah Abang Qiemee buat semua ni sebab kasihan padaku, bukan kerana ikhlas? Arghhh aku rasa bersalah pada Linda. Aku mesti cari jalan untuk jauhkan diri dari Abang Qiemee sebab aku tak perlukan simpati darinya.

Aku kembali ke meja makan setelah selesai menguruskan Shaheem. Abang Qiemee senyum senget. Aku mula rasa tidak sedap hati. Adakah ini senyuman ikhlas atau senyuman mengejek?

‘Hey you sad and lonely. Ada boyfriend kena tinggalkan. Ada suami tapi macam tak ada. Kesian kau, tak ada siapa yang sudi jadi teman.’ Hatiku mula mentafsir senyuman Abang Qiemee itu.

“Maira kenapa ni? Tiba-tiba muram, tadi okey aja.”

Oh dia perasan perubahan pada riak wajahku rupanya.

“Maira... Maira teringatkan dia.” Aku mencari jawapan yang sesuai supaya Abang Qiemee tidak tahu dengan siapa aku berjumpa sebentar tadi.

“Ada cuba hubungi dia?” suara Abang Qiemee kendur.

Aku geleng. “Maira takut.”

“Takut apa? Dah dekat setahun Maira tinggalkan rumah. Dia kena tahu. Shaheem.....”

“Tak! Dia tak perlu tahu tentang Shaheem. Maira tak nak dia terima Maira semula sebab kesian. Itu lebih menyakitkan. Cukuplah sekali Maira korbankan perasaan Maira demi menjaga maruah keluarga kami dan demi cintakan dia dengan harapan dia ingatkan Maira semula. Tapi apa yang Maira dapat?”

“Sampai bila Maira nak hidup macam ni? Maira berhak untuk bahagia. Kalau ditakdirkan dia tak ingat sampai bila-bila, Maira rela hidup macam ni selamanya? Tak jumpa orang tua Maira. Hidup macam pelarian.”

Pelarian? Ya hidup macam pelarian dengan belas ehsan darinya. Nampaknya apa yang Linda sampaikan padaku sebentar tadi benar belaka. Cuma mungkin caranya bercakap lebih berlapik sedikit berbanding Linda.

Di depan Linda entah apa-apa lagi agaknya dia mengutuk aku. Tapi aku tak pernah minta dia melayan aku atau pun Shaheem. Kami boleh hidup sendirian. Aku tak perlu simpati dari orang seperti Abang Qiemee!!

“Abang tak perlu fikirkan Maira. Maira tak perlu simpati dari abang. Abang fikirkan masa depan sendiri. Masa depan Maira ada di tangan suami Maira,” luahku geram.

“Kenapa cakap macam tu? Abang ikhlas buat semua ni demi Maira, demi Shaheem. Abang bahagia bila Maira gembira. Maira dan Shaheem adalah hidup abang, masa depan abang.”

Masa depan? Aku tak faham. Dia dah semakin merapu dan harus dihentikan.

“Tapi Maira tak nak jadi penghalang hubungan abang dan Linda.”

“What, Linda? Hubungan apa yang Maira cakapkan ni? Kan abang pernah cakap dia officemate abang je. Kami tak ada apa-apa hubungan,” jelas Abang Qiemee.

“Kalau ada pun apa salahnya?”

“No!! Hati abang dah ada pada orang lain. Dia dah bawa pergi hati abang. Tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat dia.”

“Abang jangan lawan takdir Allah.”

 Abang Qiemee diam. Dia menghadap sisa makanan di hadapannya. Langsung tidak melihat wajahku lagi. Marah, merajuk atau cemburu? Aku malas memikirkannya. Biarlah, dia bukan sesiapa padaku.

BERSAMBUNG