Isnin, 7 September 2015

RULE NOMBOR 1

BAB 4



-Assalamualaikum. Tengah buat apa?
Aku membiarkan SMS itu sepi. Entah SMS sesat dari siapa. Mungkin tersalah hantar kot.
-Tak jawab salam dosa.
Alahai main hukum dosa pulak.
+ Waalaikumsalam Warahmatullahiwabarokatu....
-Nina, jumpa I kat luar.
Siapa pula ni? Tahu pula nama aku. Mesti orang dalam pejabat ni juga.
+BZ
-Tinggalkan kerja sekejap
+Sorry banyak kerja

Aku silentkan handphone. Kalau layan orang yang macam ni sampai esok pun kerja tak siap. Aku juga yang balik lambat nanti.

Jam 9.05 malam barulah report dan semua kerja selesai. Sedar tak sedar dah setengah tahun bekerja di syarikat ini. Aku ambil beg tangan dan balik... Kunci kereta kupegang siap-siap. Suspens bila tinggal sorang-sorang di dalam pejabat. Sementara menunggu lif terbuka aku mengeluarkan handphone yang di simpan di dalam kocek seluar. Banyaknya SMS dari nombor yang tak kukenali. Aku baca satu persatu.

-Kerja takkan habis
-I akan hantui hidup you kalau you tak layan I

Alahai time ni pula dia nak cakap pasal hantu. Takut pula apabila lif ini terbuka, keluar makhluk itu. Tarik nafas dalam-dalam dan lepas. Pintu lif terbuka... Jantung berdegup laju. Semua doa yang aku hafal aku baca di dalam hati. Memang ada makhluk di dalam lif ini. Antara takut-takut berani aku angkat muka melihat makhluk itu. Memang dia sedang memandangku tajam. Taringnya seperti akan dikeluarkan pada bila-bila masa.

“Nak masuk ke tak nak?”

Aku melangkah setapak ke hadapan.

Thank you Encik Hezree,” aku terus berpaling memandang pintu lif yang tertutup perlahan.
“Dah habis kerja?”

“Habis untuk hari ni. Kalau semua kerja dah siap, nanti saya kena pecat,” dalam takut-takut berani nak menjawab, aku beranikan diri juga.

“Kenapa pula?” Dia menapak ke hadapan dan berdiri betul-betul di sebelahku. Tinggi melampai orangnya. Aku hanya separas ketiak dia sahaja. Tak sampai bahu pun walau dah pakai kasut setinggi tiga inci.

“Sebab... maknanya company dah tak ada kerja yang nak diberikan pada saya dan terpaksa ditutup.”

“Kalau macam tu esok pukul 8.30 pagi awak kena ada kat office. Teman saya jumpa investor dari Jepun. Jadi P.A saya.”

“Tapi saya bukan dari department encik. Saya tak tahu tentang investment. Kalau  nak buat quotation tentang maintenance toilet  dan pasang guard rail saya tahulah.”

“Awak hanya duduk dan catit bila perlu.”

Parah ni. Esok hari cuti. Hari untuk keluarga. Hari bermalas-malasan. Hari untuk iron baju, hari untuk kemas bilik. Aku ni pembersih orangnya. Seminggu sekali cadar perlu ditukar. Lantai mesti dimop.

“Tapi esok cuti,” berilah apa-apa alasan supaya dapat mengelak dari kena bekerja pada hari Sabtu.

“Dah kahwin?”

Aku geleng.

I’ll pay your OT, petrol and breakfast and maybe lunch. Esok tepat 8.30 pagi di office. Saya seorang yang punctual. Jangan lambat, saya tak suka menunggu. Pakai kasual aja.”

“Di floor saya atau encik?”

“Awak ambil organizer dan pen di floor awak dan naik ke tingkat enam belas.”

Cepatlah sampai ground floor. Lain kali cari kerja yang bangunan pejabatnya tak tinggi cik Nina oi. Ni kerja tingkat lima belas, siap boleh baca satu chapter novel. Itu belum time lunch lagi. Setiap floor lif ni akan berhenti untuk mengambil penumpang.

Good night Encik Hezree,” kataku apabila pintu lif terbuka di ground floor dan Hezree mula melangkah keluar.

“Awak tak turun?”

“Saya park kereta kat basement.”

Dia tarik tanganku keluar dari lif. Amboi kasarnya umat. Malanglah siapa jadi isteri dia ni.

“Awak ingat awak ni superhero? Jangan nak berani sangat. Sekarang ni dah malam. Macam-macam boleh jadi. Mana tahu ada peragut ke, penculik ke Ju On ke. Saya yang lelaki pun park kereta kat ground floor.”

Sengal juga boss aku ni. Memanglah dia park kereta dekat ground floor sebab kat situ tempat letak kereta yang dikhaskan untuk kereta BMW sportnya. Siap ada nombor plat kenderaan lagi atas jalan raya tu. Tapi kelakarnya nak takutkan aku dengan Ju On? Alahai… aku dengan Ju On tak ada beza, aku comel sikit je dari dia.

“Encik Hezree nak bawa saya pergi mana?”

“Bawa balik rumah.”

Glup.. Aku menelan air liur. Tak rela. Aku bukannya perempuan murahan. Biarlah aku diragut dari dijadikan perempuan simpanan.

“Fikiran jangan nak melencong. Saya hantarkan awak ke basement. Apa saya nak jawab pada keluarga awak kalau apa-apa terjadi pada awak di dalam bangunan keluarga saya? Naik kereta saya.”
Rahang jangan ternganga sangat. Dia tengah bukakan pintu  kereta untukku. Hari tu Kak Wati kata Encik Hezree tak suka bercakap dengan staff. Dia hanya bercakap dengan P.A dia aja. Tapi hari ni kenapa dia banyak cakap?

“Mana kereta?”

“Yang hijau tu.”

“Axia? Baru beli?”

“Ya, hasil titik peluh kerja di sini.”

“Kerja kat company besar awak kena ikut Rule Number One dan Rule Number Two.

“Maksud?”

Rule Number One boss is always right.

Rule Number Two?”

Rule Number Two if boss is wrong see Rule Number One.

Yalah. Apa-apa aja Encik Hezree. Aku mencebik.

“Awak masuk dalam kereta. Saya akan ikut dari belakang.”

Thank you Encik Hezree.”

Tomorrow 8.30am sharp.”

Aku tabik hormat padanya. Rule apa yang mengarut dia bagi padaku entah? Tak pernah dengar pun sepanjang aku hidup di dunia selama 24 tahun ini.



 Pukul 9.30 malam baru aku sampai di hadapan rumah. Mak sedia menunggu di ruang tamu. Tangan mak kusalam.

“Lambatnya Along balik.”

“Kerja banyak mak. Esok pun Along kena kerja.”

“Tak apalah Along. Asal kerja halal. Sekarang susah nak cari kerja. Majikan buang pekerja pun ramai. Along kerja baik-baik ya.”

“Ya mak.”

“Along, mak nak nasihatkan sikit. Along tutuplah aurat. Pakai tudung. Kan manis kalau bertudung. Sekarang ni ramai perempuan yang dah bertudung. Along naik bas, boleh kira berapa orang aja wanita Islam yang tak pakai tudung kan. Sebelum mak mati, biarlah mak tengok Along bertudung ya.”

Sayu pula hati apabila mak cakap begitu. Sebenarnya dah banyak kali mak cakap tentang tudung. Tapi aku buat dengar tak dengar aja. Bila mak cakap tentang mati, rasa kepala aku seperti dihantuk ke dinding. Aku tak bersedia kehilangan mak. Belum puas bermanja dengan mak. Jasa mak pun belum terbalas.

“Mak, janganlah cakap macam tu. Along tak sedia lagi. Nanti Along dah betul-betul sedia, Along akan pakai.”

“Along dah makan?”

Aku geleng.

“Kat dapur ada mak tinggalkan lauk untuk Along. Pergilah makan.”

“Along mandi dulu mak. Badan melekit ni. Lepas mandi nanti Along makan ye. Kalau mak mengantuk, tidurlah dulu. Ayah tak balik lagi?”

“Belum. Ayah kata nak cari duit lebih sikit. Along tahu ajalah pendapatan bawa teksi bukanlah menentu sangat. Orang sekarang ni pun ramai yang ada kenderaan sendiri.”

Oh kasihannya ayah. Sampai bilalah ayah terpaksa membawa teksi untuk menyara kehidupan kami? Semakin lama semakin aku tidak sabar untuk menyenangkan keluarga. Biarlah ayah dan mak duduk berehat dirumah, biar kugalas pula tugas untuk menyara keluarga ini. Kalaulah aku kaya..

Aku masuk ke dalam bilik meletakkan beg tangan di atas almari solek. Terlihat Amani yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran.

“Adik buat apa tu?”

“Buat homework. Banyak homework ni. Nak buat latih tubi lagi.”

“Tak apa, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Belajar rajin-rajin ya dik. Kita bukannya orang senang.”

“Insya-Allah Along. Adik nak belajar rajin-rajin, nak senangkan mak ayah.”

“Pandai adik Along.”

Aku tinggalkan Amani lantas membersihkan diri setelah seharian penat bekerja. Makan malam di waktu-waktu begini memang tidak menyihatkan. Tetapi untuk menjaga hati mak dan menghargai penat lelah mak memasak, aku makan juga dan selepas itu tidur. Boleh gemuk kalau hari-hari macam ni. Aku ni dahlah comel, nanti jadi rendang dan gebu macam orang salji pula.


12 ulasan: