Ahad, 11 Oktober 2015

RULE NOMBOR 1

BAB 15



Selepas solat Maghrib, Hezree datang dengan menggalas beg. Kenapa datang lagi? Aku tak perlukan bantuan dia. Aku dah boleh masukkan ubat ke dalam mata sendiri.

“Makanlah. Mak masakkan untuk awak. Ni beg baju, saya kata awak mungkin lama lagi kat hospital. Mak pesan baju kotor bagi pada saya bawa balik.”

Hubungan apa yang istimewa sangat antara dia dan mak? Hari-hari dia datang rumah jumpa mak. Ini boleh mendatangkan kemusykilan. Dia buka penutup makanan dan letak bekas bubur di hadapanku.

“Saya baru makan tadi. Biar dulu, kalau lapar saya makan.”

“Kenapa buat rambut macam ni?”

“Saja, saya bosan. Tak tahu nak buat apa.”

Dia datang menghampiriku. Satu ikatan tocang dibuka.

“Awak buat apa ni?” Aku menghalang tangannya dari terus mencemarkan rambutku.

“Nak buka ikatan tocang awaklah.”

“Siapa suruh?” marahku.

“Awak tak rimas ke nak tidur dengan rambut berikat macam ni? Mandi tak basah rambut?”

“Orang negro bertocang berbulan-bulan tak kisah pun.”

“Sebab dia negro, awak melayu. Rambut diaorang mengerbang kalau tak diikat. Lagipun diaorang tak payah mandi wajib.”

“Saya pun tak payah mandi wajib dalam waktu terdekat ni.”

“Hish degil. Kalau dah jadi isteri saya, tahulah apa saya nak buat.”

“Nak buat apa?”

“Jadi isteri saya dulu.”

“Siapa yang nak jadi isteri encik?”

“Awak ni kenapa ya mula-mula tak nak dengar cakap saya, sekarang awak nak berencik pulak. Saja nak sakitkan hati saya kan? Puas hati kalau hati saya sakit?”

“Siapa yang suruh encik datang sini? Saya tak minta pun encik temankan saya.”

“Saya datang sebab tanggungjawab pada awak. Saya yang sebabkan awak sakit. Selagi awak tak baik, selagi tu saya akan temankan awak walaupun awak tak suruh.”

Aku ikat kembali tocang yang telah dileraikan. Kali ini aku kumpul semua tocang dan ikat semua sekali. Dah macam penyapu lidi rasanya.

“Dia datang sini tadi kan?”

“Siapa?”

“Razif.”

“Ya.”

“Buat apa?”

“Melawat orang sakit. Salah ke?” jawabku penuh geram.

“Lagi?”

“Lagi apa?”

“Dia buat apa lagi?”

“Betul encik nak tahu apa dia buat kat sini?”

“Ya, beritahu semuanya.”

“Dia suapkan saya makan. Dan saya sangat kenyang dengan nasi yang disuap. Dia ikatkan rambut saya sebab tu saya tak mahu encik buka ikatan ni. Dia letakkan ubat ke dalam mata saya. Dia temankan saya sepanjang siang tadi. Puas hati?”

Bibirnya diketapkan. Mata redupnya menikam mataku. Aku lawan panahan matanya. Tak kesah, kali ni biar aku yang menang. Dia datang mendekat. Rambut yang kuikat dileraikan satu persatu tanpa suara. Geram dengan tindakannya tapi aku diamkan saja. Entah kenapa aku redha dengan perbuatannya. Tapi rasa kesal pula usaha yang dibuat dari tangan Razif, dimusnahkan oleh tangan Hezree. Kalau boleh biarlah ia kekal begitu dua atau tiga hari lagi.

“Saya tak nak dia sentuh awak lagi. Pergi mandi dan cuci rambut awak.”

Kejamnya dia. Malam-malam macam ni suruh mandi? Dari sakit mata nanti aku boleh kena sakit paru-paru berair pula. Baru senang hati dia kot kalau tengok aku ni sakit. Aku membebel di dalam bilik mandi. Aku keluar dengan kepala berbungkus dengan tuala. Telekung kuambil dan solat Isyak tanpa mempedulikannya. Setelah mengaminkan doaku sendiri aku kembali duduk di atas katil. Tuala kecil kuletak di atas kepala untuk mengeringkan rambut yang masih basah. Aku menyanyi kecil untuk menenangkan hati yang geram.

“Apa yang awak doakan?”

“Kerja saya encik boleh tanya. Personal life saya pun encik nak ambil tahu. Doa saya dengan Allah pun takkan nak beritahu encik juga,” rasa sebal sudah mula menguasai diri. Earphone kusumbatkan kembali sambil menyanyi perlahan.

Aku nampak dia menggelengkan kepala. Televisyen dipasang dan saja dikuatkan. Aku buat tak tahu. Tengok siapa yang akan menang. Nurse masuk untuk melihat perkembanganku. Semakin baik. Ubat titis yang sudah habis diganti baru.

“Encik, boleh perlahankan sikit volume tv tu? Mengganggu pesakit,” tegur nurse.

Aku gelak dalam hati. Tapi senyum sinis terkeluar juga.

“Apa senyum-senyum? Ada hutang?” katanya apabila jururawat sudah keluar.

Ah ayat keanak-anakkan.

“Ada, hutang mata. Berikan mata awak sebagai ganti. Boleh?”

“Kalau boleh saya dah buat. Kita tukar, saya gantikan dengan masa dan tenaga saya.”

“Tak payahlah. Saya bergurau aja. Hari ni aja awak temankan saya. Esok tak payah sebab nanti awak nak pergi kerja. Saya tak mahu reputasi awak terganggu sebab tak cukup tidur.”

“Saya dah minta cuti kat papa hari Isnin ni untuk jaga awak.”

“Dato Seri tahu awak jaga saya?”

“Dia tahu saya jaga kawan. Tapi dia tak tahu saya jaga awak.”
Lega.

“Amanina, saya tak mahu bergaduh dengan awak lagi. Saya kibarkan bendera putih.”

Eleh cakap aja. Kalau lupa, datanglah mood cari pasal dia.

“Saya suap awak makan ya.”

Oh indahnya dunia. Mata yang sakit, tapi tangan yang rehat. Sentiasa ada yang tolong suapkan makan.

“Amanina, saya nak buat pengakuan pada awak.”

Ini suspens. Pengakuan apa pula? Tarik nafas dan buat-buat tenang.

“Saya... saya sebenarnya.”

Telefon bimbitnya berbunyi. Mengganggu betul ketika aku benar-benar ingin tahu apa yang dia ingin katakan. Dia ke sudut lain untuk menjawab panggilan itu.

“Sherry,” katanya pendek.

Ini tak ada kena-mengena dengan aku. Apa yang dia nak cakap tadi dah tak menjadi topik utama. Kalau dia nak cakap, cakaplah. Kalau tak, tak apa.

“Dia ajak awak keluar?”

Hezree angguk.

“Pergilah,” kataku perlahan.

“Saya kata saya penat. Nak tidur awal.”

“Mana awak jumpa species liar dan exotic tu?”

“Boleh tahan jugak panggilan awak pada dia. Saya jumpa dia secara kebetulan. Kawan saya ajak saya ke pertunjukkan fesyen yang dianjurkan oleh syarikat keluarga dia. Si Sherry ni salah seorang modelnya. Kawan saya tu kenalkan kami. Adalah keluar dua tiga kali dengan dia. Tak ada apa-apa pun yang terjadi. Saya anggap dia kawan aja. Tak sangka pula dia yang melebih. Orang macam tu nak jadikan isteri? Belum masuk pintu rumah, mama saya dah halau.”

“Kenapa?”

“Perempuan macam tu yang nak jaga anak dia ni? Perempuan yang tak berakhlak macam tu nak jadi ibu kepada cucu-cucu mama saya? Pakaian terdedah, ditonton orang ramai. Minta dijauhkan.”

“Tapi dia anggap awak boyfriend dia.”

“Orang macam dia nak kerja senang. Tangkap orang kaya lepas tu duduk mengikis aja. Dia salah orang, saya tak bodoh.”

Okey. Boleh tak berhenti dari bercakap tentang dia. Aku tak suka sebenarnya.

“Kalau saya yang ajak awak keluar?”

“Dengan senang hatinya saya tunaikan.”

“Sebab apa pula?”

“Mari saya letakkan ubat.” Pandainya dia ubah topik.

“Sebab?” tanyaku sekali lagi.

Dia senyum. Baru perasan dia mempunyai senyuman yang menawan dengan lesung pipit di sebalik wajah sombongnya.

“Sebab awak dah ambil hati saya. Saya terpaksa selalu dekat dengan awak sebab hati saya ada pada awak sekarang.”

Aku pandang dia tanpa kelip. Aku tak pernah anggap yang dia sedang serius dengan kata-katanya. Kata-kata dari orang kaya membabitkan hati dan perasaan memang tak boleh dipercayai. Dengar boleh tapi jangan simpan dalam hati.

“Hahaha.” Aku gelak satu-satu.

“Tak percaya?”

Aku mencebekkan mulut. Dia keluarkan sesuatu dari bag pac.

“Cukup tak sebagai tanda?”

Dia hulurkan kalung yang pernah dipakaikan ketika aku mengikutinya ke majlis sahabatnya minggu lepas.

“Ni awak beli sebab nak pergi event,” aku membelek-belek kalung dengan buah berbentuk Chennal itu.

“Kalau yang ni?” Dia sarungkan pula cincin belah rotan ke jari manisku.

“Dah berapa bentuk yang awak beli untuk berikan kepada teman-teman wanita awak?”

“Satu. Dan dia ada nama di belakangnya.”

Aku pandang dia dengan rasa tak percaya. Kutanggalkan cincin itu dan melihat di bahagian dalam. Hez~Nina. Nak tergelak pun ada tapi aku kemam.

“Sekarang dah percaya?”

“Awak dah tak ada nama yang lagi cute? Lagi satu, awak tak pernah panggil saya Nina. Kenapa kat cincin ni awak tulis Nina?”

“Saya hanya panggil awak Nina bila kita berdua. Nama kita sangat cantik kalau digabungkan.”

“Tapi awak dengan Razif...”

“Kenapa saya dengan Razif?”

“Awak dengan dia bukan ke?” aku tunjuk jari telunjuk kiri dan kanan lalu dirapatkan.

“Bercinta?” keningnya dikerutkan. Aku angguk.

“Apalah awak ni fikir macam tu. Ingat saya ni tak tahu agama? Ingat saya tak takut kalau Nabi Muhammad tak mengaku saya umat? Ingat saya tak takut penyakit?”

“Sorry tapi cara awak yang tak layan perempuan...”

“Saya tak reti bergaul dengan perempuan. Tak ada adik-beradik perempuan, sekolah kat boys school.

“Saya minta maaf,” kesalnya aku berprasangka buruk padanya.

“Nina, sudi tak awak jadi teman hidup saya?”

Perut bagai dipulas-pulas hingga ke dada. Jantung berdegup laju. Mata macam dah nak menangis tapi boleh cover dengan mata yang sedia merah.

“Awak tak main-mainkan Hezree? Saya... saya tak layak untuk seorang lelaki yang berpengaruh seperti awak. Saya tak impikan lelaki yang sehebat awak. Saya tak setaraf dengan awak. Saya cuma nak kehidupan yang biasa dengan lelaki yang saya cinta. Saya tak nak tumpang kesenangan orang. Saya nak susah senang bersama dia.”

“Darah kita sama merah, mati kita dibungkus dengan kain kafan. Tak ada kain sutera. Kenapa nak soalkan taraf pula? Saya tak pentingkan semua tu. Saya juga nak hidup dengan orang yang saya cintai.”

“Awak tak kisah tapi Dato Seri dan Datin Seri?”

“Saya buat apa yang saya suka. Tak ada orang yang boleh paksa saya.”

“Beri saya masa untuk fikirkan. Saya tak nak paksa diri saya. Saya nak perasaan tu datang sendiri.”

“Ambillah sebanyak mana masa yang awak nak. Saya akan pastikan awak sentiasa ada di depan mata saya.”

Bunga-bunga cinta mula subur di dalam diri ini. Tapi biarkan dia berkembang dulu baru aku beri jawapan padanya. Tak perlu terburu-buru, dia sentiasa ada di depan mata.

“Nina sayang, awak tidurlah. Abang nak buat kerja,” dia keluarkan laptop dan diletak atas ribanya.

Seriau dengar dia cakap macam tu. Baru pagi tadi bertukar dari encik ke awak. Takkan nak tukar kepada abang pula. Tak mahulah. Malu.




Pukul 2 pagi nurse datang cek suhu badan dan tekanan darah. Demam sikit katanya. Hezree tertidur di bangku. Kasihannya dia. Mesti penat sampai terlupa nak titiskan ubat ke dalam mataku.

“Awak... awak...” panggilku perlahan sambil menggerak-gerakkan tangannya..

Hezree bangun dan menggosok-gosok matanya.

“Nina nak air ke?”

“Tak, awak pergilah tidur kat sofa. Sakit tengkuk tidur macam ni.”

“Kenapa tangan awak panas? Awak demam? Dah pukul berapa ni?”

“Tadi nurse datang cek. Saya demam sikit, baru pukul 2 pagi.”

“Sayang demam cinta dengan abang ke?”

Aku senyum tanpa berkata.

Nurse dah letak ubat?”

Aku angguk.

“Abang tidur kat sini je,” dia letakkan kepalanya pada katil dan sambung tidur.

Bergetar hati bila dia dah mula dengan panggilan romantik yang tak boleh aku hadam lagi. Tidurlah putera raja. Mimpi yang indah.

Dia tidur dengan lena hari ini. Pukul berapa dia lelapkan mata aku tak pasti. Tetapi seingatku, dia sempat kejutkan aku untuk titiskan ubat mata. Lepas tu aku tidur dan tak ingat apa-apa sehingga nurse datang kejutkan aku. Dari pukul dua pagi hingga enam mataku tak boleh pejam. Cuba untuk lena tapi tak berjaya. Mungkin kerana siang tadi aku banyak tidur. Selepas nurse datang untuk pemeriksaan, perlahan-lahan aku bangun untuk mandi dan solat Subuh. Demam semakin panas. Aku menggigil bila paip air dibuka. Kedinginan subuh menggigit tubuhku. Setelah solat aku kejutkan dia. Suhu penghawa dingin aku naikkan. Kalau macam ni keadaannya tak ada harapan dapat balik rumah hari ni. Aku hubungi mak dan update tentang kesihatanku. Tengahari ini mak akan datang dengan ayah dan Adik. Puas menegah, tetapi mak masih berdegil. Dia nak lihat sendiri keadaan anaknya yang seorang ini.

“Mak call?”

“Saya call mak.”

“Apa cerita?”

“Tengahari ni mak nak datang.”

“Nak abang ambilkan mak?”

“Tak payah. Nanti mak datang dengan ayah dan Adik. Kejap lagi doktor datang. Nak tanya bila saya boleh keluar.”

Dia angguk. Handphone di tangan dibelek. Entah apa yang dibuatnya macam sibuk sangat. Aku tak dibenarkan untuk melihat handphone kecuali untuk membuat panggilan. Masej pun tak boleh baca.

“Kenapa demam pula ni? Mata dah okey sikit. Tengok esok macam mana. Kalau tak demam dan mata dah tak merah boleh balik,” kata doktor yang memeriksaku. Kemudian aku berterima kasih dengan doktor itu.

“Seronok kena pegang dengan doktor handsome?”

“Merepeklah. Tak ada perasaan pun. Dia jalankan tugas. Saya pun nak cepat baik. Penat duduk kat hospital ni.”

“Apa yang penat? Tidur, makan, baring je.”

“Penatlah macam tu. Biasa badan bekerja, bila berehat macam ni jadi lembik. Tu yang demam. Aircond dua puluh empat jam, jadi malas aja badan ni.”

“Abang nak cari surat khabar. Nak kirim apa-apa tak?”

Aku geleng. Dia pun pergi. Baik aku fikir semula nak teruskan hubungan dengan dia atau tidak. Nampak macam cemburu buta. Doktor pegang kelopak mata guna sarung tangan pun dia nak jealous. Cemburu buta ni membahayakan.

Mak datang dengan membawa nasi dan sup ayam. Aku makan dengan puas. Gemuklah anak mak duduk kat hospital lama-lama. Makan dan tidur aja. Tak ada bersenam atau berpeluh. Sebelum mak datang aku suruh Hezree balik. Tapi dia buat tak tahu. Tepat pukul dua belas tengahari baru dia pergi, itu pun setelah dapat panggilan entah dari siapa. Lega betul bila dia dah balik.

“Baik ya boss Along tu. Hari-hari datang tengok Along. Dia yang minta baju Along. Dia kata Along tak selesa pakai baju hospital,” kata mak.

Bila pula aku kata aku tak selesa dengan baju hospital? Tak payah susah-susah nak basuh. Masuk aja dalam bakul nanti nurse tolong ambilkan. Sebelum pukul enam petang baju bersih dah ada kat atas meja untuk diganti.

“Dia yang selalu buli Along. Dia yang call mak masa Along kena balik malam dengan baju pelik tu.”

“Tapi apa yang Along cerita tu tak sama dengan apa yang mak nampak. Dia berbudi bahasa.”

“Berlakonlah tu.”

“Tak baik macam tu Along. Orang dah tolong, kena berterima kasih,” sambut ayah.


Aku diam. Mak dan ayah tak tahu aku sakit ni disebab dia. Aku terfikir kalau dia jadi menantu mak dan ayah mesti aku dah tak dihiraukan. Mesti mak ayah sayang dia lebih. Ni tak boleh jadi dan tak boleh dibiarkan.


Nota Kaki : Bab kali ni taklah sedih pun. Cuma ada pelbagai emosi. Yang sedihnya saya terpaksa stop di sini.. Ini bermakna ini adalah bab terakhir di dalam RULE NOMBOR 1 sebelum ia dibukukan... Apa-apa pun terima kasih yang tidak terhingga kepada yang sudi membaca n3 saya yang biasa-biasa ni.
Saya sambung nangis balik... Sob... Sobbb

8 ulasan: