RULE NOMBOR 1
BAB 15
Selepas
solat Maghrib, Hezree datang dengan menggalas beg. Kenapa datang lagi? Aku tak perlukan
bantuan dia. Aku dah boleh masukkan ubat ke dalam mata sendiri.
“Makanlah.
Mak masakkan untuk awak. Ni beg baju, saya kata awak mungkin lama lagi kat
hospital. Mak pesan baju kotor bagi pada saya bawa balik.”
Hubungan
apa yang istimewa sangat antara dia dan mak? Hari-hari dia datang rumah jumpa
mak. Ini boleh mendatangkan kemusykilan. Dia buka penutup makanan dan letak
bekas bubur di hadapanku.
“Saya
baru makan tadi. Biar dulu, kalau lapar saya makan.”
“Kenapa
buat rambut macam ni?”
“Saja,
saya bosan. Tak tahu nak buat apa.”
Dia
datang menghampiriku. Satu ikatan tocang dibuka.
“Awak
buat apa ni?” Aku menghalang tangannya dari terus mencemarkan rambutku.
“Nak
buka ikatan tocang awaklah.”
“Siapa
suruh?” marahku.
“Awak
tak rimas ke nak tidur dengan rambut berikat macam ni? Mandi tak basah rambut?”
“Orang
negro bertocang berbulan-bulan tak kisah pun.”
“Sebab
dia negro, awak melayu. Rambut diaorang mengerbang kalau tak diikat. Lagipun
diaorang tak payah mandi wajib.”
“Saya
pun tak payah mandi wajib dalam waktu terdekat ni.”
“Hish
degil. Kalau dah jadi isteri saya, tahulah apa saya nak buat.”
“Nak
buat apa?”
“Jadi
isteri saya dulu.”
“Siapa
yang nak jadi isteri encik?”
“Awak
ni kenapa ya mula-mula tak nak dengar cakap saya, sekarang awak nak berencik pulak. Saja nak sakitkan hati saya kan?
Puas hati kalau hati saya sakit?”
“Siapa
yang suruh encik datang sini? Saya tak minta pun encik temankan saya.”
“Saya
datang sebab tanggungjawab pada awak. Saya yang sebabkan awak sakit. Selagi
awak tak baik, selagi tu saya akan temankan awak walaupun awak tak suruh.”
Aku
ikat kembali tocang yang telah dileraikan. Kali ini aku kumpul semua tocang dan
ikat semua sekali. Dah macam penyapu lidi rasanya.
“Dia
datang sini tadi kan?”
“Siapa?”
“Razif.”
“Ya.”
“Buat
apa?”
“Melawat
orang sakit. Salah ke?” jawabku penuh geram.
“Lagi?”
“Lagi
apa?”
“Dia
buat apa lagi?”
“Betul
encik nak tahu apa dia buat kat sini?”
“Ya,
beritahu semuanya.”
“Dia
suapkan saya makan. Dan saya sangat kenyang dengan nasi yang disuap. Dia
ikatkan rambut saya sebab tu saya tak mahu encik buka ikatan ni. Dia letakkan
ubat ke dalam mata saya. Dia temankan saya sepanjang siang tadi. Puas hati?”
Bibirnya
diketapkan. Mata redupnya menikam mataku. Aku lawan panahan matanya. Tak kesah,
kali ni biar aku yang menang. Dia datang mendekat. Rambut yang kuikat
dileraikan satu persatu tanpa suara. Geram dengan tindakannya tapi aku diamkan
saja. Entah kenapa aku redha dengan perbuatannya. Tapi rasa kesal pula usaha
yang dibuat dari tangan Razif, dimusnahkan oleh tangan Hezree. Kalau boleh
biarlah ia kekal begitu dua atau tiga hari lagi.
“Saya
tak nak dia sentuh awak lagi. Pergi mandi dan cuci rambut awak.”
Kejamnya
dia. Malam-malam macam ni suruh mandi? Dari sakit mata nanti aku boleh kena
sakit paru-paru berair pula. Baru senang hati dia kot kalau tengok aku ni
sakit. Aku membebel di dalam bilik mandi. Aku keluar dengan kepala berbungkus
dengan tuala. Telekung kuambil dan solat Isyak tanpa mempedulikannya. Setelah
mengaminkan doaku sendiri aku kembali duduk di atas katil. Tuala kecil kuletak
di atas kepala untuk mengeringkan rambut yang masih basah. Aku menyanyi kecil
untuk menenangkan hati yang geram.
“Apa
yang awak doakan?”
“Kerja
saya encik boleh tanya. Personal life saya
pun encik nak ambil tahu. Doa saya dengan Allah pun takkan nak beritahu encik
juga,” rasa sebal sudah mula menguasai diri. Earphone kusumbatkan kembali sambil menyanyi perlahan.
Aku
nampak dia menggelengkan kepala. Televisyen dipasang dan saja dikuatkan. Aku
buat tak tahu. Tengok siapa yang akan menang. Nurse masuk untuk melihat perkembanganku. Semakin baik. Ubat titis
yang sudah habis diganti baru.
“Encik,
boleh perlahankan sikit volume tv tu?
Mengganggu pesakit,” tegur nurse.
Aku
gelak dalam hati. Tapi senyum sinis terkeluar juga.
“Apa
senyum-senyum? Ada hutang?” katanya apabila jururawat sudah keluar.
Ah
ayat keanak-anakkan.
“Ada,
hutang mata. Berikan mata awak sebagai ganti. Boleh?”
“Kalau
boleh saya dah buat. Kita tukar, saya gantikan dengan masa dan tenaga saya.”
“Tak
payahlah. Saya bergurau aja. Hari ni aja awak temankan saya. Esok tak payah
sebab nanti awak nak pergi kerja. Saya tak mahu reputasi awak terganggu sebab
tak cukup tidur.”
“Saya
dah minta cuti kat papa hari Isnin ni untuk jaga awak.”
“Dato
Seri tahu awak jaga saya?”
“Dia
tahu saya jaga kawan. Tapi dia tak tahu saya jaga awak.”
Lega.
“Amanina,
saya tak mahu bergaduh dengan awak lagi. Saya kibarkan bendera putih.”
Eleh
cakap aja. Kalau lupa, datanglah mood
cari pasal dia.
“Saya
suap awak makan ya.”
Oh
indahnya dunia. Mata yang sakit, tapi tangan yang rehat. Sentiasa ada yang
tolong suapkan makan.
“Amanina,
saya nak buat pengakuan pada awak.”
Ini
suspens. Pengakuan apa pula? Tarik
nafas dan buat-buat tenang.
“Saya...
saya sebenarnya.”
Telefon
bimbitnya berbunyi. Mengganggu betul ketika aku benar-benar ingin tahu apa yang
dia ingin katakan. Dia ke sudut lain untuk menjawab panggilan itu.
“Sherry,”
katanya pendek.
Ini
tak ada kena-mengena dengan aku. Apa yang dia nak cakap tadi dah tak menjadi
topik utama. Kalau dia nak cakap, cakaplah. Kalau tak, tak apa.
“Dia
ajak awak keluar?”
Hezree
angguk.
“Pergilah,”
kataku perlahan.
“Saya
kata saya penat. Nak tidur awal.”
“Mana
awak jumpa species liar dan exotic tu?”
“Boleh
tahan jugak panggilan awak pada dia. Saya jumpa dia secara kebetulan. Kawan
saya ajak saya ke pertunjukkan fesyen
yang dianjurkan oleh syarikat keluarga dia. Si Sherry ni salah seorang
modelnya. Kawan saya tu kenalkan kami. Adalah keluar dua tiga kali dengan dia.
Tak ada apa-apa pun yang terjadi. Saya anggap dia kawan aja. Tak sangka pula
dia yang melebih. Orang macam tu nak jadikan isteri? Belum masuk pintu rumah,
mama saya dah halau.”
“Kenapa?”
“Perempuan
macam tu yang nak jaga anak dia ni? Perempuan yang tak berakhlak macam tu nak
jadi ibu kepada cucu-cucu mama saya? Pakaian terdedah, ditonton orang ramai.
Minta dijauhkan.”
“Tapi
dia anggap awak boyfriend dia.”
“Orang
macam dia nak kerja senang. Tangkap orang kaya lepas tu duduk mengikis aja. Dia
salah orang, saya tak bodoh.”
Okey.
Boleh tak berhenti dari bercakap tentang dia. Aku tak suka sebenarnya.
“Kalau
saya yang ajak awak keluar?”
“Dengan
senang hatinya saya tunaikan.”
“Sebab
apa pula?”
“Mari
saya letakkan ubat.” Pandainya dia ubah topik.
“Sebab?”
tanyaku sekali lagi.
Dia
senyum. Baru perasan dia mempunyai senyuman yang menawan dengan lesung pipit di
sebalik wajah sombongnya.
“Sebab
awak dah ambil hati saya. Saya terpaksa selalu dekat dengan awak sebab hati
saya ada pada awak sekarang.”
Aku
pandang dia tanpa kelip. Aku tak pernah anggap yang dia sedang serius dengan
kata-katanya. Kata-kata dari orang kaya membabitkan hati dan perasaan memang
tak boleh dipercayai. Dengar boleh tapi jangan simpan dalam hati.
“Hahaha.”
Aku gelak satu-satu.
“Tak
percaya?”
Aku
mencebekkan mulut. Dia keluarkan sesuatu dari bag pac.
“Cukup
tak sebagai tanda?”
Dia
hulurkan kalung yang pernah dipakaikan ketika aku mengikutinya ke majlis
sahabatnya minggu lepas.
“Ni
awak beli sebab nak pergi event,” aku
membelek-belek kalung dengan buah berbentuk Chennal itu.
“Kalau
yang ni?” Dia sarungkan pula cincin belah rotan ke jari manisku.
“Dah
berapa bentuk yang awak beli untuk berikan kepada teman-teman wanita awak?”
“Satu.
Dan dia ada nama di belakangnya.”
Aku
pandang dia dengan rasa tak percaya. Kutanggalkan cincin itu dan melihat di
bahagian dalam. Hez~Nina. Nak tergelak pun ada tapi aku kemam.
“Sekarang
dah percaya?”
“Awak
dah tak ada nama yang lagi cute? Lagi
satu, awak tak pernah panggil saya Nina. Kenapa kat cincin ni awak tulis Nina?”
“Saya
hanya panggil awak Nina bila kita berdua. Nama kita sangat cantik kalau
digabungkan.”
“Tapi
awak dengan Razif...”
“Kenapa
saya dengan Razif?”
“Awak
dengan dia bukan ke?” aku tunjuk jari telunjuk kiri dan kanan lalu dirapatkan.
“Bercinta?”
keningnya dikerutkan. Aku angguk.
“Apalah
awak ni fikir macam tu. Ingat saya ni tak tahu agama? Ingat saya tak takut
kalau Nabi Muhammad tak mengaku saya umat? Ingat saya tak takut penyakit?”
“Sorry tapi cara awak yang tak layan
perempuan...”
“Saya
tak reti bergaul dengan perempuan. Tak ada adik-beradik perempuan, sekolah kat boys school.”
“Saya
minta maaf,” kesalnya aku berprasangka buruk padanya.
“Nina,
sudi tak awak jadi teman hidup saya?”
Perut
bagai dipulas-pulas hingga ke dada. Jantung berdegup laju. Mata macam dah nak
menangis tapi boleh cover dengan mata
yang sedia merah.
“Awak
tak main-mainkan Hezree? Saya... saya tak layak untuk seorang lelaki yang
berpengaruh seperti awak. Saya tak impikan lelaki yang sehebat awak. Saya tak
setaraf dengan awak. Saya cuma nak kehidupan yang biasa dengan lelaki yang saya
cinta. Saya tak nak tumpang kesenangan orang. Saya nak susah senang bersama
dia.”
“Darah
kita sama merah, mati kita dibungkus dengan kain kafan. Tak ada kain sutera.
Kenapa nak soalkan taraf pula? Saya tak pentingkan semua tu. Saya juga nak
hidup dengan orang yang saya cintai.”
“Awak
tak kisah tapi Dato Seri dan Datin Seri?”
“Saya
buat apa yang saya suka. Tak ada orang yang boleh paksa saya.”
“Beri
saya masa untuk fikirkan. Saya tak nak paksa diri saya. Saya nak perasaan tu
datang sendiri.”
“Ambillah
sebanyak mana masa yang awak nak. Saya akan pastikan awak sentiasa ada di depan
mata saya.”
Bunga-bunga
cinta mula subur di dalam diri ini. Tapi biarkan dia berkembang dulu baru aku
beri jawapan padanya. Tak perlu terburu-buru, dia sentiasa ada di depan mata.
“Nina
sayang, awak tidurlah. Abang nak buat kerja,” dia keluarkan laptop dan diletak
atas ribanya.
Seriau
dengar dia cakap macam tu. Baru pagi tadi bertukar dari encik ke awak. Takkan
nak tukar kepada abang pula. Tak mahulah. Malu.
Pukul
2 pagi nurse datang cek suhu badan dan
tekanan darah. Demam sikit katanya. Hezree tertidur di bangku. Kasihannya dia.
Mesti penat sampai terlupa nak titiskan ubat ke dalam mataku.
“Awak...
awak...” panggilku perlahan sambil menggerak-gerakkan tangannya..
Hezree
bangun dan menggosok-gosok matanya.
“Nina
nak air ke?”
“Tak,
awak pergilah tidur kat sofa. Sakit tengkuk tidur macam ni.”
“Kenapa
tangan awak panas? Awak demam? Dah pukul berapa ni?”
“Tadi
nurse datang cek. Saya demam sikit,
baru pukul 2 pagi.”
“Sayang
demam cinta dengan abang ke?”
Aku
senyum tanpa berkata.
“Nurse dah letak ubat?”
Aku
angguk.
“Abang
tidur kat sini je,” dia letakkan kepalanya pada katil dan sambung tidur.
Bergetar
hati bila dia dah mula dengan panggilan romantik yang tak boleh aku hadam lagi.
Tidurlah putera raja. Mimpi yang indah.
Dia
tidur dengan lena hari ini. Pukul berapa dia lelapkan mata aku tak pasti.
Tetapi seingatku, dia sempat kejutkan aku untuk titiskan ubat mata. Lepas tu
aku tidur dan tak ingat apa-apa sehingga nurse
datang kejutkan aku. Dari pukul dua pagi hingga enam mataku tak boleh pejam.
Cuba untuk lena tapi tak berjaya. Mungkin kerana siang tadi aku banyak tidur.
Selepas nurse datang untuk
pemeriksaan, perlahan-lahan aku bangun untuk mandi dan solat Subuh. Demam
semakin panas. Aku menggigil bila paip air dibuka. Kedinginan subuh menggigit
tubuhku. Setelah solat aku kejutkan dia. Suhu penghawa dingin aku naikkan.
Kalau macam ni keadaannya tak ada harapan dapat balik rumah hari ni. Aku
hubungi mak dan update tentang
kesihatanku. Tengahari ini mak akan datang dengan ayah dan Adik. Puas menegah,
tetapi mak masih berdegil. Dia nak lihat sendiri keadaan anaknya yang seorang
ini.
“Mak
call?”
“Saya
call mak.”
“Apa
cerita?”
“Tengahari
ni mak nak datang.”
“Nak
abang ambilkan mak?”
“Tak
payah. Nanti mak datang dengan ayah dan Adik. Kejap lagi doktor datang. Nak
tanya bila saya boleh keluar.”
Dia
angguk. Handphone di tangan dibelek.
Entah apa yang dibuatnya macam sibuk sangat. Aku tak dibenarkan untuk melihat handphone kecuali untuk membuat
panggilan. Masej pun tak boleh baca.
“Kenapa
demam pula ni? Mata dah okey sikit.
Tengok esok macam mana. Kalau tak demam dan mata dah tak merah boleh balik,”
kata doktor yang memeriksaku. Kemudian aku berterima kasih dengan doktor itu.
“Seronok
kena pegang dengan doktor handsome?”
“Merepeklah.
Tak ada perasaan pun. Dia jalankan tugas. Saya pun nak cepat baik. Penat duduk
kat hospital ni.”
“Apa
yang penat? Tidur, makan, baring je.”
“Penatlah
macam tu. Biasa badan bekerja, bila berehat macam ni jadi lembik. Tu yang
demam. Aircond dua puluh empat jam,
jadi malas aja badan ni.”
“Abang
nak cari surat khabar. Nak kirim apa-apa tak?”
Aku
geleng. Dia pun pergi. Baik aku fikir semula nak teruskan hubungan dengan dia
atau tidak. Nampak macam cemburu buta. Doktor pegang kelopak mata guna sarung
tangan pun dia nak jealous. Cemburu
buta ni membahayakan.
Mak
datang dengan membawa nasi dan sup ayam. Aku makan dengan puas. Gemuklah anak
mak duduk kat hospital lama-lama. Makan dan tidur aja. Tak ada bersenam atau
berpeluh. Sebelum mak datang aku suruh Hezree balik. Tapi dia buat tak tahu.
Tepat pukul dua belas tengahari baru dia pergi, itu pun setelah dapat panggilan
entah dari siapa. Lega betul bila dia dah balik.
“Baik
ya boss Along tu. Hari-hari datang
tengok Along. Dia yang minta baju Along. Dia kata Along tak selesa pakai baju
hospital,” kata mak.
Bila
pula aku kata aku tak selesa dengan baju hospital? Tak payah susah-susah nak
basuh. Masuk aja dalam bakul nanti nurse
tolong ambilkan. Sebelum pukul enam petang baju bersih dah ada kat atas meja untuk
diganti.
“Dia
yang selalu buli Along. Dia yang call
mak masa Along kena balik malam dengan baju pelik tu.”
“Tapi
apa yang Along cerita tu tak sama dengan apa yang mak nampak. Dia berbudi
bahasa.”
“Berlakonlah
tu.”
“Tak
baik macam tu Along. Orang dah tolong, kena berterima kasih,” sambut ayah.
Aku
diam. Mak dan ayah tak tahu aku sakit ni disebab dia. Aku terfikir kalau dia
jadi menantu mak dan ayah mesti aku dah tak dihiraukan. Mesti mak ayah sayang
dia lebih. Ni tak boleh jadi dan tak boleh dibiarkan.
Nota Kaki : Bab kali ni taklah sedih pun. Cuma ada pelbagai emosi. Yang sedihnya saya terpaksa stop di sini.. Ini bermakna ini adalah bab terakhir di dalam RULE NOMBOR 1 sebelum ia dibukukan... Apa-apa pun terima kasih yang tidak terhingga kepada yang sudi membaca n3 saya yang biasa-biasa ni.
Saya sambung nangis balik... Sob... Sobbb